Skip to main content

YAB Perdana Menteri Hadir Majlis Kemuncak HAWANA 2023.

YAB Perdana Menteri menyentuh kad perakuan media sebagai simbolik HAWANA 2023.

IPOH, 28 Mei 2023- YAB Perdana Menteri, Dato' Seri Anwar Ibrahim tiba di Casuarina@Meru di sini bagi menyempurnakan Majlis Kemuncak Hari Wartawan Nasional (HAWANA) 2023.

Turut mengiringi ketibaan beliau YAB Timbalan Perdana Menteri, Dato' Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi; YAB Menteri Besar Perak, Dato' Seri Saarani Mohamad; YB Menteri Komunikasi dan Digital, Tuan Ahmad Fahmi Fadzil, YB Timbalan Menteri Komunikasi dan Digital, Puan Teo Nie Ching; YB Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato' Ahmad Suaidi Abdul Rahim serta YBrs. Ketua Pegawai Eksekutif Pertubuhan Berita Nasional Malaysia, Encik Roslan Ariffin.

Pada edisi kali ini, negeri Perak telah dipilih sebagai tuan rumah bagi mengadakan Sambutan HAWANA 2023 yang akan berlangsung selama tiga hari bermula 27 hingga 29 Mei.

Sambutan HAWANA bertujuan bagi menghargai golongan wartawan di Malaysia, yang disambut pada setiap 29 Mei, bersempena penerbitan pertama akhbar Utusan Melayu pada 29 Mei 1939.

YAB Dato' Seri Anwar Ibrahim dalam ucapannya berkata, wartawan di negara ini bukan sahaja menyampaikan maklumat tetapi mereka juga menjadi penggagas dan pencetus idea bagi membawa perubahan seperti dilakukan pengamal media terdahulu seperti Ahmad Boestamam, Ibrahim Kajai, Uthman Awang dan sebagainya.

Sementara itu, YAB Dato' Seri Anwar Ibrahim turut mengumumkan sumbangan sebanyak RM1 juta kepada Tabung Kasih@HAWANA yang diwujudkan sempena HAWANA 2023 bagi membantu pengamal media, bekas petugas media dan wartawan veteran.

Pada majlis tersebut juga, YAB Dato' Seri Anwar Ibrahim turut berkesempatan menyampaikan sumbangan kepada tiga wartawan veteran di Perak iaitu Encik Ou So Ha yang  Encik V. Maniam dan Encik Haron Shafei.

Dalam perkembangan sama, dengan mengangkat tema 'Media Bebas, Tunjang Demokrasi', HAWANA 2023 menghimpunkan kira-kira 1000 orang pengamal media seluruh Malaysia termasuk beberapa negara ASEAN dan sedikit sebanyak mampu dijadikan platform bagi mempromosikan negeri Perak ke mata dunia.

FaLang translation system by Faboba
  • Hakmilik © 2020 Kerajaan Negeri Perak. Kemaskini Terakhir : Isnin 23 Jun 2025, 09:05:57.
Paparan Terbaik: 1600 x 900 Piksel melalui Mozilla Firefox dengan resolusi SUSUN ATUR RESPONSIF.