Perak Sejahtera 2030 Catat Kejayaan Sepanjang Setahun Pelancaran.

YAB Dato' Seri Saarani Mohamad menyampaikan johan mencipta Lagu Perak Sejahtera 2030 kepada Mohamad Radzi Rosli bernilai RM10,000.
IPOH, 15 Jun 2023 - YAB Menteri Besar Perak, Dato’ Seri Saarani Mohamad bersama seluruh anggota Kerajaan Negeri Perak meraikan kejayaan setahun Perak Sejahtera 2030 di Pusat Konvensyen Ipoh, petang ini.
Beliau yang hadir bersama isterinya, YABhg. Datin Seri Aezer Zubir turut membentangkan kemajuan pelaksanaan setahun pelan pembangunan Perak Sejahtera 2030 di hadapan lebih 2,000 orang para hadirin sempena Majlis Sambutan Setahun Perak Sejahtera 2030.
Dalam aspek ekonomi, menurutnya, Perak berada pada landasan kukuh apabila merekodkan sebanyak 294 projek pelaburan yang diluluskan pada 2022 membabitkan pelaburan sebanyak RM6.6 bilion dengan RM2.28 bilion membabitkan Pelaburan Langsung Asing (FDI) yang menawarkan 7,682 peluang pekerjaan.
“Bergerak ke hadapan, pelaburan di negeri Perak menyaksikan prospek yang amat memberangsangkan apabila suku kedua tahun 2023 kita berada antara empat (4) negeri teratas yang menarik sebahagian besar pelaburan diluluskan iaitu RM7.1 bilion, peningkatan sebanyak 550 peratus berbanding RM1.3 bilion pada tempoh sama tahun lalu,” katanya.
Dalam tempoh setahun, jelasnya, Perak menerima banyak pelaburan berimpak tinggi termasuk projek Lembah Teknologi Tinggi Automotif (AHTV) bernilai RM32 bilion di Tanjung Malim, pembinaan kilang elektronik XP Power di Seri Iskandar (RM300 juta) dan pembinaan kilang memproses mineral di Silver Valley Technology Park (RM100 juta).
Tambahnya lagi, Perak meningkatkan prasarana jalur lebar termasuk mempercepatkan projek Jalinan Digital Negara (JENDELA) selain telah membina 71 Pusat Ekonomi Digital (PEDi) seluruh negeri Perak bagi menyediakan capaian internet secara kolektif kepada penduduk luar bandar.
Perak turut tidak ketinggalan dalam melaksanakan pendigitalan kerajaan dengan memperkenalkan beberapa sistem dan aplikasi antaranya MyPatil iaitu Premis Perniagaan Digital, One Stop Centre 3.0 Plus Online (OSC 3.0 Plus) dan Park@Perak yang digunapakai Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) sebagai alternatif tambahan pembayaran parkir kenderaan menggunakan kupon.
Hadir sama, YB Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato' Ahmad Suaidi Abdul Rahim; YB Penasihat Undang-Undang Negeri Perak, Dato’ Azmir Shah Zainal Abidin; YB Pegawai Kewangan Negeri, Tuan Mohd Zaki Mahyudin serta barisan Ahli Mesyuarat Kerajaan Negeri Perak.