Skip to main content

DYMM Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan Berangkat Ke Istiadat Sambutan Hari Pahlawan Negeri Perak.

Tetamu kehormat bergambar bersama.

IPOH, 31 Julai 2023- DYMM Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah Ibni Almarhum Sultan Azlan Muhibbuddin Shah Al-Maghfur-Lah berkenan menghadiri istiadat Sambutan Hari Pahlawan Negeri Perak Darul Ridzuan 2023 di Dataran Bangunan Perak Darul Ridzuan.

Ketibaan baginda kira-kira jam 9 pagi diiringi DYTM Raja Muda Perak Darul Ridzuan, Raja Jaafar ibni Almarhum Raja Muda Musa dan DYAM Raja Dihilir Perak Darul Ridzuan, Raja Iskandar Dzurkarnain ibni Almarhum Sultan Idris A’fifullah Shah yang turut sama berangkat ke majlis sambutan itu.

Hadir sama, YAB Menteri Besar Perak, Dato’ Seri Saarani bin Mohamad; YB Setiausaha Kerajaan Negeri Perak, Dato’ Ahmad Suaidi bin Abdul Rahim; YDH Ketua Polis Perak, CP Dato’ Seri Mohd. Yusri bin Hassan Basri; Panglima Armada Barat, Laksamana Madya Datuk Abu Bakar bin Md. Ajis; Panglima Briged Kedua Infantri Malaysia (2 Bgd), Brigedier Jeneral Asri bin Shukor serta barisan Ahli Mesyuarat Kerajaan Negeri

Istiadat dimulakan dengan nyanyian lagu kebesaran negeri Perak diikuti pemeriksaan kawalan kehormat oleh baginda yang terdiri daripada tiga pegawai dan 103 anggota lain-lain pangkat dari Rejimen Askar Jurutera Diraja, 2 Divisyen, Kem Sangro Taiping yang dipimpin oleh Mejar Muhiburrahman bin Khairulanuar dan dibantu oleh Leftenan Muhamad Zulfadzli bin Abdul Ghani dan Pegawai Waran 1, Mohamad Fairus Nizam bin Zabory.

Pegawai pembawa panji-panji adalah Leftenan Muhammad Afiq bin Aris dengan detasmen perhimpunan mengandungi seramai 400 pegawai dan anggota pasukan keselamatan yang turut merangkumi veteran tentera serta pesara polis.

Manakala pancaragam yang mengiringi adalah Brass Band KD Pelanduk, Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) Lumut seramai 44 orang di bawah pimpinan Leftenan Dya Muhamad Ali Rajaie bin Nor Mohamed.

Sebaik sahaja kawalan kehormat selesai, tiupan paluan akhir atau Last Post dimainkan dan Jalur Gemilang diturunkan.

Majlis disusuli bacaan doa khas Hari Pahlawan oleh Mejar Mohd. Risal bin Osman dari Markas 2 Briged Infantri Malaysia dan pendeklamasian sajak berjudul ‘Pahlawanku’ yang disampaikan oleh Kapten Sharifudin @ Abu Danial bin Abu Talib dari Batalion ke-23 Rejimen Askar Melayu Diraja.

Tiupan Rouse kemudiannya dimainkan dan Jalur Gemilang kembali dinaikkan diikuti lagu kebesaran negeri Perak sebelum kawalan kehormatan utama keluar perbarisan sebagai penamat istiadat sambutan.

FaLang translation system by Faboba
  • Hakmilik © 2020 Kerajaan Negeri Perak. Kemaskini Terakhir : Isnin 23 Jun 2025, 09:05:57.
Paparan Terbaik: 1600 x 900 Piksel melalui Mozilla Firefox dengan resolusi SUSUN ATUR RESPONSIF.