Perak Antara Lima Negeri Teratas Yang Berjaya Tarik Pelabur.

Yang Di-Pertua Dewan Negeri Perak, YB Dato’ Mohammad Zahir bin Dato’ Abdul Khalid melangkah masuk ke Dewan Negeri Perak bagi memulakan persidangan pada jam 9.00 pagi
IPOH, 25 September 2023 - Perak adalah antara lima negeri teratas menarik sebahagian besar pelaburan yang telah diluluskan dengan peningkatan sebanyak 550 peratus bersamaan RM1.3 bilion berbanding suku tahun 2022.
YAB Menteri Besar Perak, Dato' Seri Saarani bin Mohamad memaklumkan perkara itu ketika menjawab soalan lisan pada Mesyuarat Keempat, Tahun Pertama, Dewan Negeri Yang Ke-15, Perak Darul Ridzuan di Bangunan Perak Darul Ridzuan.
Tambahnya lagi, pencapaian tersebut adalah berdasarkan pelaburan bagi tahun 2023 dari Januari hingga Mac.
“Berdasarkan data dari Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) dan InvestPerak, sebanyak 101 projek telah diluluskan dengan jumlah pelaburan keseluruhan berjumlah RM7.1 bilion serta RM2.69 bilion atau 37.89 peratus menerusi Pelaburan Langsung Domestik (DDI).
“RM4.39 bilion atau 61.83 peratus adalah daripada sumber Pelaburan Langsung Asing (FDI) dan dianggarkan sebanyak 7,682 peluang pekerjaan dapat diwujudkan di negeri ini menerusi pelaburan tersebut,” jelasnya.
Menurutnya, sebagai langkah permulaan, Perak telah menerima beberapa pelaburan antaranya membangunkan Automotive High-Technology Valley (AHTV) bernilai RM40 bilion di Tanjung Malim dalam tempoh 10 tahun akan datang.
“PROTON dan keseluruhan operasi termasuk Geely akan berpindah ke Tanjung Malim dengan perpindahan seramai 10,000 orang pekerja menjelang tahun 2027.
“Selain itu, Lumut Maritime Industrial City (LuMIC) di Pelaburan Lumut, berpotensi menjana peluang pelaburan berjumlah RM72 bilion dengan 51,000 peluang pekerjaan dalam tempoh 25 tahun akan datang.
“Perak juga berjaya menarik pelaburan awal bernilai RM100 juta bagi pengeluaran dan pemprosesan bahan mineral di kawasan Silver Valley Technology Park (SVTP) serta pembinaan kilang XP Power yang melibatkan pelaburan hampir RM300 juta di daerah Perak Tengah. Projek yang dijangka siap pada suku kedua tahun 2024 akan mewujudkan lebih 1,200 peluang pekerjaan,” katanya.
Sumber : Korporat, SUK Perak.