Skip to main content

Kumpulan Eureka Dari Jmg Berjaya Rangkul Anugerah Inovasi Menteri Besar.

JMG diumumkan sebagai pemenang yang merangkul AIMB.

IPOH, 1 November 2023 - Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia (JMG) membuat kejutan apabila projek inovasi mereka telah diumumkan sebagai pemenang yang berjaya merangkul Anugerah Inovasi Menteri Besar (AIMB).

Kumpulan yang dinamakan sebagai Kumpulan EUREKA telah membawa pulang wang tunai sebanyak RM50,000 dan piala iringan.

Penyampaian anugerah itu telah disempurnakan oleh YAB Menteri Besar Perak, Dato’ Seri Saarani bin Mohamad ketika Sambutan Hari Inovasi Peringkat Negeri Perak Tahun 2023 di Dewan Bankuet, Bangunan Perak Darul Ridzuan.

Hadir sama, YB Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Ahmad Suaidi bin Abdul Rahim; YB Penasihat Undang-Undang Negeri, Dato’ Azmir Shah bin Zainal Abidin; YB Pegawai Kewangan Negeri, Tuan Mohd Zaki bin Mahyudin dan YB Pengerusi Jawatankuasa Sains, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau, Encik Teh Kok Lim.

Kumpulan EUREKA mengenengahkan projek inovasi teknologi Lestari bumi hijau melalui kitar semula sisa kapur karbida bagi penghasilan kalsium karbonat termendak atau precipitated calcium carbonate (PCC) sebagai bahan pengisi dalam pembuatan cat komersial.

Inovasi yang diperkenalkan ini adalah teknik untuk menukarkan sisa industri gas asitilena iaitu kapur karbida menjadi batu kapur sintetik yang bergred tinggi. PCC ini boleh digunakan dalam pelbagai industri lain seperti cat, kertas, plastik, bahan salutan dan sebagainya. Melalui inovasi, sisa buangan industri telah ditambah nilai kepada mineral boleh guna semula dan memastikan kelestarian alam terus terpelihara.

Selain itu, seminar sempena sambutan ini telah diadakan pada jam 9.30 pagi di Dewan Serbaguna, Bangunan Perak Darul Ridzuan.

Seminar tersebut dimulakan dengan taklimat oleh Pegawai Harta Intelek, Ketua Unit Pemeriksaan Formaliti (National), Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MYIPO), Puan Siti Mariam binti Solehan dengan tajuk “Perlindungan Harta Intelek”.

Seterusnya, Ketua Penolong Setiausaha, Bahagian Pengurusan Maklumat, Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Perak, Encik Zolkefli bin Mohd Idris menyampaikan taklimat bertajuk “Sistem ePenghulu, Membawa Pejabat Penghulu kepada Masyarakat”.

Sambutan ini turut dimeriahkan dengan pameran yang disertai daripada 30 jabatan dengan menampilkan pelbagai inovasi yang telah dihasilkan dan dilaksanakan oleh peserta.

FaLang translation system by Faboba
  • Hakmilik © 2020 Kerajaan Negeri Perak. Kemaskini Terakhir : Isnin 23 Jun 2025, 09:05:57.
Paparan Terbaik: 1600 x 900 Piksel melalui Mozilla Firefox dengan resolusi SUSUN ATUR RESPONSIF.