Skip to main content

DYMM Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan Zahir Rasa Pilu Penderitaan Rakyat Palestin.

DYMM Paduka Seri Sultan Perak ketika mempersembahkan titah diraja

KUALA KANGSAR, 5 November 2023 - DYMM Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah Ibni Al-Marhum Sultan Azlan Muhibbuddin Shah Al-Maghfur-Lah menzahirkan rasa pilu terhadap penderitaan yang dihadapi oleh rakyat Palestin yang menjadi mangsa kekejaman rejim Israel.

Baginda bertitah, dunia kini sedang sakit dan dibimbangkan berkemungkinan menjadi tenat, jika krisis persaingan dan pergolakan terus berlaku, sedangkan keganasan serta malapetaka kemanusiaan gagal dibendung. 

"Amat memilukan hati melihat penderitaan yang ditanggung oleh rakyat bumi Palestin akibat perbuatan zalim Rejim Zionis Israel yang kita tidak terfikir, tergamak dilakukan oleh makhluk bergelar manusia.

"Penderitaan yang dialami oleh insan-insan tidak berdosa di bumi Palestin mengembalikan ingatan kepada kata dua yang diungkapkan oleh tentera Athen kepada penduduk Pulau Melos semasa Perang Peloponnesia antara Athens dan Sparta pada tahun 416 sebelum Masihi yang memilih sifat berkecuali dan tidak mahu menyerah diri telah dikepung, semua penduduk lelaki dibunuh, dan semua wanita dan kanak-kanak diperhamba," titah baginda.

Baginda bertitah demikian pada Istiadat Menghadap Sembah Taat Setia dan Penganugerahan Darjah Kebesaran Negeri Perak Darul Ridzuan bersempena dengan sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan baginda Tahun 1445H/2023M di Istana Iskandariah di sini, hari ini.

Berangkat mengiringi baginda ke majlis tersebut, DYMM Raja Permaisuri Perak Darul Ridzuan, Tuanku Zara Salim.

Turut berkenan berangkat, DYTM Raja Muda Perak Darul Ridzuan, Raja Jaafar ibni Almarhum Raja Muda Musa; DYTM Raja Puan Besar Perak Darul Ridzuan, Raja Nazhatul Shima binti Almarhum Sultan Idris A’fifullah Shah; DYAM Raja Dihilir Perak Darul Ridzuan, Raja Iskandar Dzurkarnain ibni Almarhum Sultan Idris A’fifullah Shah serta DYAM Raja Puan Muda Perak Darul Ridzuan, Tunku Soraya binti Almarhum Sultan Abdul Halim.

Hadir sama, YAB Menteri Besar Perak, Dato' Seri Saarani bin Mohamad; YABhg. Orang Kaya Bendahara Seri Maharaja, Jen. Dato’ Seri DiRaja Tan Sri (Dr.) Mohd. Zahidi bin Haji Zainuddin (Bersara); Yang Di-Pertua Dewan Negeri, Dato’ Mohammad Zahir bin Abdul Khalid; YAB Timbalan Perdana Menteri, Dato' Seri Dr. Ahmad Zahid bin Hamidi; YAA Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun binti Tuan Mat; Panglima Angkatan Tentera (PAT), Jeneral Tan Sri Datuk Seri Mohammad bin Ab Rahman; YDH. Ketua Polis Negara, Tan Sri Dato' Seri Razarudin bin Husain; YBhg. Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (KPPA), Dato' Dr. Zulkapli bin Mohamed; YB Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato' Ahmad Suaidi bin Abdul Rahim; YB Penasihat Undang-Undang Negeri, Dato' Azmir Shah bin Zainal Abidin; YB Pegawai Kewangan Negeri, Dato' Mohd Zaki bin Mahyudin; Ahli-ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri; Ahli-ahli Parlimen; Ahli-ahli Dewan Negara Negeri Perak serta ketua-ketua jabatan negeri dan persekutuan.

DYMM Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah Ibni Al-Marhum Sultan Azlan Muhibbuddin Shah bertitah lagi, sikap yang mementingkan diri dan sikap yang merasakan diri sendiri sahaja yang betul akan membawa kepada kemusnahan. 

"Membenci dan bermusuhan bagaikan pilihan kalangan yang memiliki kuasa, yang kelihatan lebih cenderung untuk bersaing daripada bekerjasama.

"Akibatnya usaha-usaha membangun insan, menghapuskan kemiskinan, mengatasi kekurangan makanan, dan membasmi kejahilan serta buta huruf,  menjadi bertambah sukar. 

"Dunia juga sedang menghadapi masalah bekalan perkhidmatan dan barangan, terutama bahan makanan yang semakin sukar diperoleh, menyebabkan kos sara hidup terus meningkat, mengakibatkan rakyat di serata dunia menanggung kesusahan," titah baginda.

Baginda bertitah, dunia yang tenat dilanda krisis perlu diubati dengan suara perdamaian. 

"Bermuafakat lebih baik daripada bersengketa,  bermesyuarah lebih baik daripada bertelagah, dan bermaaf-maafan lebih baik daripada berdendam.

"Insaflah! kedamaian lebih baik daripada peperangan; Insaflah! akar kemanusiaan hanya tumbuh dalam suasana persahabatan dan kerjasama; Insaflah!  kedamaian akan tinggal dalam impian jika tidak ada rasa muhibah dalam hati insan," titah baginda.

Terdahulu, DYMM Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah Ibni Al-Marhum Sultan Azlan Muhibbuddin Shah Al-Maghfur-Lah berkenan memeriksa kawalan kehormatan utama sempena Istiadat  Hari Keputeraan baginda Tahun 1445H/ 2023M di Istana Iskandariah, di sini.

Kawalan kehormatan utama tersebut terdiri daripada yang terdiri daripada 103 anggota lain- lain pangkat dan tiga pegawai daripada Rejimen Askar Jurutera Diraja 2 Divisyen yang berpengkalan di Kem Sangro, Taiping di bawah pimpinan Kolonel Abdul Rahim Hamzah, manakala Ketua Kawalan ialah Mejar Muhibburrahman Khairul Anuar.

FaLang translation system by Faboba
  • Hakmilik © 2020 Kerajaan Negeri Perak. Kemaskini Terakhir : Isnin 23 Jun 2025, 09:05:57.
Paparan Terbaik: 1600 x 900 Piksel melalui Mozilla Firefox dengan resolusi SUSUN ATUR RESPONSIF.