Skip to main content

Sektor Agromakanan Berkembang Sebagai Penyumbang Utama Ekonomi

YAB Dato’ Sri Haji Fadillah bin Haji Yusof berkesempatan melawat pameran Perak Sejahtera 2030

IPOH, 29 Mac 2021- Kerajaan Negeri Perak telah melancarkan Roadmap Pelan Pembangunan Perak Sejahtera 2030 yang dibangunkan oleh Institut Darul Ridzuan (IDR) dan Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN) bagi menjadi pemandu arah jentera kerajaan dalam pembangunan negeri untuk tempoh 10 tahun akan datang.

YAB Menteri Besar Perak, Dato’ Saarani bin Mohamad berkata, roadmap pelan yang bersifat dinamik, realistik dan boleh capai itu merupakan kesinambungan kepada pelan-pelan pembangunan yang terdahulu serta mengambil kira pelan-pelan pembangunan jangka masa sederhana dan panjang yang lain di peringkat persekutuan dan negeri.

“Seperti contoh Rancangan Malaysia Ke-12, Northern Corridor Strategic Development Plan 2021-2025, Rancangan Struktur Negeri 2040, Kajian Pelan Perindustrian Perak dan lain-lain rancangan pembangunan yang relevan dengan negeri Perak.

Roadmap bagi pembentukan pelan ini akan melibatkan empat fasa dan mengambil masa selama 12 bulan. Fasa pertama sudah pun selesai dijalankan pada 1 dan 4 Mac lalu yang meliputi bengkel libat urus untuk mengumpulkan input dan pandangan bagi pembentukan Visi, Misi, Teras Strategik dan Nilai Bersama,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan perasmiannya semasa Majlis Pelancaran Roadmap Pelan Pembangunan Perak Sejahtera 2030 di Dewan Bankuet, Bangunan Perak Darul Ridzuan.

Hadir sama YB Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Ahmad Suaidi bin Abdul Rahim; YB Penasihat Undang-Undang Negeri, Tuan Azmir Shah bin Zainal Abidin; YB Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak, Dato’ Mohammad Zahir  Bin Abdul Khalid serta barisan Ahli Mesyuarat Kerajaan Negeri Perak (MMK)

Jelas YAB Dato’ Saarani bin Mohamad lagi, fasa kedua yang bermula Mac hingga Jun 2021 pula akan melibatkan pembangunan inisiatif strategik, program-program berkaitan pelan tindakan mengikut portfolio Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri serta pemetaan pelan-pelan pembangunan sedia ada untuk diselaraskan dengan pelan pembangunan Perak Sejahtera.

“Bagi fasa ketiga pula ia dijadualkan bermula pada bulan Julai hingga Oktober 2021 yang akan melibatkan perancangan program secara khusus mengikut daerah.

“Pelan Perak Sejahtera 2030 itu dijangka siap selepas memasuki fasa keempat yang bermula pada November 2021 hingga Februari 2022 beserta pelan pemantauan dan pelaksanaan,”katanya.

Dalam perkembangan sama, Pelan Pembangunan Perak Sejahtera 2030 didukung dengan visi “Perak Makmur, Rakyat Sejahtera” yang mencerminkan manifestasi harapan rakyat yang inginkan kesejahteraan, keselamatan dan pembangunan.

Berpandukan misi “Memacu Pembangunan Sosioekonomi yang Mapan, Inklusif dan Dinamik”, pelan ini menggariskan lima Teras Strategik iaitu keseimbangan pembangunan fizikal dan             sosioekonomi, kerjasama pintar, kelestarian penggunaan sumber dan alam semula jadi, sistem penyampaian perkhidmatan yang cekap dan ambil peduli serta kepakaran berkualiti dan bernilai tinggi yang akan dipaksikan bersama lima nilai bersama iaitu jujur, bijaksana, prihatin, kebersamaan dan tegas.

FaLang translation system by Faboba
  • Hakmilik © 2020 Kerajaan Negeri Perak. Kemaskini Terakhir : Isnin 23 Jun 2025, 09:05:57.
Paparan Terbaik: 1600 x 900 Piksel melalui Mozilla Firefox dengan resolusi SUSUN ATUR RESPONSIF.