Skip to main content

Kerajaan Negeri Wujud Platform e-dagang Bagi PKS

Hotel Casuarina@Meru mempromosi dan mengetengahkan warisan kulinari dan budaya Perak kepada pelancong

IPOH, 17 November 2023 - YAB Menteri Besar Perak, Dato’ Seri Saarani bin Mohamad telah menyaksikan Majlis Pertukaran Dokumen Memorandum Persefahaman (MoU) antara Digital Perak Corporation Holdings (Digital Perak) dengan Nityo Infotech Services Sdn. Bhd. (Nityo) di Hotel Casuarina@Meru.

Menurutnya, melalui MoU ini, Nityo dan Digital Perak akan mentransformasi aplikasi S.M.A.R.T Niaga@Perak yang telah dibangunkan oleh Digital Perak kepada satu platform e-dagang yang lengkap untuk perusahaan kecil dan sederhana (PKS) di Perak.

"Nityo akan membimbing dan melaksanakan ‘onboarding’ untuk 200 PKS teratas atau ‘Top 200’ dari kalangan PKS di dalam S.M.A.R.T Niaga@Perak tanpa kos kepada kerajaan negeri serta PKS itu sendiri.

"Pengunaan platform e-dagang Shopmatic yang disediakan oleh Nityo bakal melonjakkan usahawan ke tahap yang lebih tinggi dan berpotensi untuk menembusi pasaran antarabangsa sejajar dengan agenda Perak Sejahtera 2030 di bawah program Flagship Ekonomi Digital.

"Inisiatif ini mempercepatkan ketersediaan Perak mengadaptasi teknologi yang mendorong pertumbuhan inovasi baharu dan membuka ruang untuk agensi kerajaan, pihak swasta dan usahawan mempertingkatkan kualiti penyampaian perkhidmatan kepada rakyat dan pengguna," jelasnya kepada pemberita.

Hadir sama, YB Penasihat Undang-Undang Negeri, Dato' Azmir Shah bin Zainal Abidin; YB Pegawai Kewangan Negeri, Dato’ Mohd Zaki bin Mahyudin; Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNPk), YBhg. Datuk Redza Rafiq Abdul Razak dan Ketua Pegawai Operasi Tourism Perak, Puan Zuraida binti Md Taib.

Sementara itu, YAB Dato' Seri Saarani bin Mohamad turut melancarkan “Promosi Makanan Tradisi Perak: Keajaiban Tradisi Kulinari” Sempena Tahun Melawat Perak 2024 pada harga RM60.00 untuk dua orang.

"Ia dilaksanakan oleh Hotel Casuarina@Meru bagi mempromosi dan mengetengahkan warisan kulinari dan budaya Perak kepada pelancong yang berkunjung ke negeri sekaligus mengangkat Perak menjadi sebuah destinasi pelancongan makanan utama di Malaysia.

"Promosi makanan tradisi Perak ini mengetengahkan `Set Talam’ yang menggabungkan pelbagai hidangan tradisi termasuklah Ikan Patin Masak Tempoyak, Rendang Tok, Sambal Tempoyak Pucuk Ubi dan Ikan Loma Pekasam selain beberapa pemanis mulut antaranya, Kuih Limas, Kuih Cecemek, Bubur Anak Lebah, Puteri Mandi dan pelbagai lagi makanan dan manisan tradisi yang sinonim dengan negeri ini.

"Saya dimaklumkan promosi ‘Set Talam’ ini telah pun berlangsung sejak September lalu dan diteruskan hingga akhir Disember ini. Promosi ini diharap dapat membantu pertumbuhan industri pelancongan negeri kerana ia sangat berpotensi dalam meningkatkan pengalaman pelancong selain berupaya mengetengah dan memartabatkan warisan makanan tradisional Perak," katanya di majlis berkenaan.

FaLang translation system by Faboba
  • Hakmilik © 2020 Kerajaan Negeri Perak. Kemaskini Terakhir : Khamis 27 November 2025, 04:19:41.
Paparan Terbaik: 1600 x 900 Piksel melalui Mozilla Firefox dengan resolusi SUSUN ATUR RESPONSIF.