Majlis Sambutan Hari Perancangan Bandar Sedunia Tahun 2023 Peringkat Negeri Perak.

YB Dato’ Ahmad Suaidi bin Abdul Rahim merasmikan Majlis Sambutan Hari Perancangan Bandar Sedunia Tahun 2023 Peringkat Negeri Perak
SERI ISKANDAR, 25 November 2023 - YB Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Ahmad Suaidi bin Abdul Rahim telah merasmikan Majlis Sambutan Hari Perancangan Bandar Sedunia Tahun 2023 Peringkat Negeri Perak Darul Ridzuan di SMK Seri Iskandar, petang ini.
Beliau yang hadir mewakili YAB Menteri Besar Perak, Dato’ Seri Saarani bin Mohamad berkata, pengurusan bandar kini tidak lagi hanya berfungsi secara teras seperti penyampaian perkhidmatan kerajaan memenuhi keperluan air dan elektrik, kediaman, pemilikan keselamatan awam dan kesihatan tetapi perlu lebih maju, inovatif dan kreatif serta perancangan yang melangkaui sempadan.
“Kita juga perlu memanfaatkan teknologi moden untuk sentiasa bersiap siaga dalam menghadapi apa jua cabaran tempatan mahupun antarabangsa.
“Majlis pada hari ini turut meraikan pihak-pihak yang terlibat dalam aspek perancangan bandar. Alhamdulillah kesemua 15 pihak berkuasa tempatan (PBT) di Perak dan 13 jabatan dan agensi sentiasa komited dalam membangunkan negeri Perak,” jelasnya ketika menyampaikan ucapan bagi pihak YAB Dato’ Seri Saarani bin Mohamad.
Hadir sama, Timbalan Ketua Pengarah (Perancangan), Jabatan Perancangan Bandar dan Desa, YBrs. TPr Md Nazri bin Abdullah; Pegawai Daerah Perak Tengah, Tuan Mohd Zaki bin Abdul Rahman; Pengarah Jabatan Perancangan Bandar dan Desa Negeri Perak, Gs Mohamed Zamri bin Mohd. Zain dan Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Perak, YBhg. Dato’ Mohamad Fauzi bin Mahson.
Sebelum majlis berakhir, YB Dato’ Ahmad Suaidi bin Abdul Rahim turut menyampaikan Anugerah Penghargaan Bandar Mampan dan Bahagia Tahun 2023 kepada 15 PBT antaranya Majlis Bandaraya Ipoh, Majlis Daerah Perak Tengah, Majlis Daerah Lenggong, Majlis Daerah Kampar dan Majlis Daerah Batu Gajah.
Sumber : Korporat, SUK Perak.