DYMM Paduka Seri Sultan Perak Berkenan Meriahkan Majlis Sambutan Deepavali Peringkat Negeri Perak Darul Ridzuan 2023.

DYMM Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan dan DYMM Raja Permaisuri Perak Darul Ridzuan berkenan menyampaikan sumbangan kepada anak-anak yatim.
TANJONG MALIM, 26 November 2023- DYMM Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah Ibni Al-Marhum Sultan Azlan Muhibbuddin Shah Al-Maghfur-Lah dan DYMM Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim berkenan bercemar duli berangkat ke Majlis Sambutan Deepavali Peringkat Negeri Perak Tahun 2023 di Dewan Sri Tanjong, Majlis Daerah Tanjong Malim, di sini.
Turut berkenan berangkat, DYTM Raja Muda Perak Darul Ridzuan, Raja Jaafar ibni Almarhum Raja Muda Musa; DYTM Raja Puan Besar Perak Darul Ridzuan, Raja Nazhatul Shima binti Almarhum Sultan Idris A’fifullah Shah; DYAM Raja DiHilir Perak Darul Ridzuan, Raja Iskandar Dzurkarnain ibni Almarhum Sultan Idris A’fifullah Shah serta DYAM Raja Puan Muda Perak Darul Ridzuan, Tunku Soraya Binti Almarhum Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah.
Hadir sama YAB Menteri Besar Perak, Dato' Seri Saarani bin Mohamad dan isteri, YABhg. Datin Seri Aezer binti Zubin; YABhg. Orang Kaya Bendahara Seri Maharaja, Jen. Dato’ Seri DiRaja Tan Sri (Dr.) Mohd. Zahidi bin Haji Zainuddin (Bersara) dan isteri, YABhg. Toh Puan Datin Seri Diraja Puan Sri Hajah Rasiah binti Md. Nor; YB Penasihat Undang-Undang Negeri, Dato' Azmir Shah bin Zainal Abidin; YB Pegawai Kewangan Negeri, Dato' Mohd Zaki bin Mahyudin; YB Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri; Ahli-Ahli Dewan Negara Perak; Ahli-Ahli Dewan Negeri Perak; Orang-Orang Besar Jajahan serta ketua-ketua jabatan negeri dan persekutuan.
YAB Dato' Seri Saarani bin Mohamad dalam sembah ucapannya berkata, rakyat tanpa mengira sempadan bangsa telah membuktikan perbezaan kaum dan agama menjadi identiti dan keunikan rakyat Malaysia khususnya negeri Perak.
"Bertuahnya kita kerana masih merasai nikmat keamanan dan kerukunan, tatkala banyak negara di dunia sedang cemas berdepan berantakan dan perpecahan akibat bahana peperangan.
"Bersyukur dalam erti kata menghargai keamanan dan sedaya upaya menghindari perpecahan. Ketahuilah akan hakikat bahawa perpaduan yang disemai dalam kalangan warga sedari kecil sehingga menginjak dewasa, menjadi kunci kepada kerukunan hidup meskipun dilanda pelbagai ujian dan dugaan,” katanya.
Pada majlis itu, DYMM Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah Ibni Al-Marhum Sultan Azlan Muhibbuddin Shah Al-Maghfur-Lah dan DYMM Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim berkenan menyampaikan sumbangan kepada 53 anak yatim daripada Pertubuhan Badan Kebajikan Anak-Anak Yatim Darussalam Ipoh, Pertubuhan Pengurusan Pusat Jagaan 1 Malaysia dan Pertubuhan Kebajikan Insan Kanak-kanak Arut Perum Jothy.
Dalam perkembangan sama, kira-kira 5,000 orang pengunjung dari pelbagai kaum telah hadir bagi memeriahkan majlis sambutan tersebut dengan pelbagai juadah disediakan antaranya sate, mee goreng, apam balik serta makanan tradisi masyarakat india seperti putu mayam, puri, vadai dan lain-lain.
Sumber : Korporat, SUK Perak.