Skip to main content

Sidang DUN Perak Bermula 1 Disember Ini.

Mesyuarat Kelima, Tahun Pertama, Dewan Negeri Yang Ke-15 Perak Darul Ridzuan akan berlangsung pada 1 Disember hingga 8 Disember ini.

IPOH, 28 November 2023 - Mesyuarat Kelima, Tahun Pertama, Dewan Negeri Yang Ke-15 Perak Darul Ridzuan akan berlangsung pada 1 Disember hingga 8 Disember ini.

YB Yang Di-Pertua Dewan Negeri Perak, Dato’ Mohammad Zahir bin Dato’ Abdul Khalid berkata, seperti kelaziman, sepanjang enam hari persidangan tersebut, sesi soalan lisan akan berlangsung dengan tempoh selama 60 minit.

"Pada mesyuarat kali ini, Dewan Negeri telah menerima dua pemberitahuan usul berkenaan Rang Undang-Undang (RUU) yang akan dibawa pada mesyuarat kali ini oleh pihak kerajaan.

Beliau berkata demikian pada sidang media khas di Bilik Sidang Media, Bangunan Perak Darul Ridzuan, di sini.

"Yang pertama adalah, Enakmen Perbekalan 2024 yang akan dibawa oleh YAB Menteri Besar Perak, Dato' Seri Saarani bin Mohamad.

"Semua Ahli Dewan Negeri akan diberi peluang untuk mengambil bahagian pada sesi perbahasan nanti.

"Masa sesi perbahasan yang diperuntukkan kepada penyokong kerajaan dan ketua pembangkang adalah selama 40 minit setiap seorang.

"Manakala bagi Ahli Dewan Negeri yang lain adalah selama 20 minit setiap seorang.

Hadir sama, YB Timbalan Yang Di-Pertua Dewan Negeri Perak, Cik Jenny Choy Tsi Jen dan Setiausaha Dewan Negeri, YBrs. Muhammad Nazri bin Abdullah.

Ujar YB Dato’ Mohammad Zahir bin Dato’ Abdul Khalid, bagi RUU kedua pula, Enakmen Wasiat Orang Islam (Perak) 2023 juga akan dibawa oleh YAB Menteri Besar Perak, Dato' Seri Saarani bin Mohamad.

"Seramai enam orang Ahli Dewan Negeri akan terlibat bagi sesi perbahasan RUU tersebut.

"Sesi perbahasan dijadualkan berlangsung pada Persidangan Kedua iaitu pada 4 Disember 2023," jelasnya.

Penonton boleh mengikuti siaran langsung persidangan ini melalui saluran YouTube DUN Perak dan laman Facebook rasmi, Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Perak.

Dewan Negeri turut mengalu-alukan mana-mana pihak yang berhasrat untuk datang mengikuti persidangan Dewan Negeri secara langsung.

Permohonan boleh dihantar ke Bahagian Dewan Negeri dan Majlis Mesyuarat Kerajaan, Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Perak. Pas pemerhati akan diberikan bagi memudahkan urusan sepanjang perjalanan persidangan Dewan Negeri.

FaLang translation system by Faboba
  • Hakmilik © 2020 Kerajaan Negeri Perak. Kemaskini Terakhir : Isnin 23 Jun 2025, 09:05:57.
Paparan Terbaik: 1600 x 900 Piksel melalui Mozilla Firefox dengan resolusi SUSUN ATUR RESPONSIF.