Aduan Salah Guna Media Sosial Meningkat 21 Peratus : 9 November 2017
YB Dato' Nolee Ashilin Binti Mohammed Radzi turut berucap dalam seminar yang dijalankan.
IPOH, 9 NOVEMBER 2017 - Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) menerima sebanyak 6,725 aduan mengenai penyalahgunaan perkhidmatan komunikasi dan media sosial sepanjang tempoh 10 bulan tahun ini.
Ketua Pegawai Keselamatan Rangkaian dan Penguatkuasaan SKMM, Encik Zulkarnain Bin Mohd Yasin berkata statistik itu menunjukkan peningkatan sebanyak 21 peratus berbanding 4,919 aduan yang diterima SKMM pada tahun lepas.
Beliau berkata, aplikasi media sosial yang paling banyak disalahguna oleh pengguna Internet di negara ini adalah Facebook iaitu sebanyak 70 peratus diikuti WhatsApp dan Twitter.
“Dalam konteks Perak, MCMC menerima sejumlah 44 aduan sehingga kini berbanding 59 aduan yang diterima sepanjang tahun lepas dan jumlah itu menunjukkan penurunan sebanyak 25 peratus,†ujar beliau.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Seminar Perundangan Mengenai Penyalahgunaan Media Sosial dan Impak Kepada Negara yang dirasmikan YB Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kesenian, Kebudayaan, Komunikasi dan Multimedia negeri Dato’ Nolee Ashilin Bin Mohammed Radzi.
Hadir sama dalam majlis tersebut Timbalan Setiausaha Kerajaan (Pembangunan), YBhg. Dato’ Abu Bakar Bin Haji Said, Timbalan Pengarah Jabatan Siber & Multimedia Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman, YDH SAC Tuan Ahmad Noordin Bin Ismail dan Ketua Bahagian Penguatkuasaan dan Siasatan SKMM, YBhg. Dato’ Mohd Shafie Harun.
Menurut beliau, MCMC turut menyekat capaian kepada 2,765 laman sesawang sehingga kini yang mengandungi laman kandungan lucah, laman menjijikkan, laman bersifat mengancam dan laman palsu kerana melanggar Akta Komunikaisi dan Multimedia 1998.
Mengulas lanjut, beliau berkata, pihaknya melakukan sekatan laman sesawang adalah demi kepentingan masyarakat di negara ini dan memelihara serta melindungi maruah mereka secara keseluruhannya.
Tambah beliau, pihaknya menjangkakan penyalahgunaan perkhidmatan komunikasi dan media sosial akan meningkat menjelang pilihan raya umum ke-14 (PRU14) yang bakal diadakan pada bila-bila masa.
“Ini kerana trend peningkatan penyalahgunaan perkhidmatan komunikasi dan media sosial berlaku semasa PRU 2008 dan 2013,†kata beliau.
Mengenai seminar berkenaan, Encik Zulkarnain berkata, Perak merupakan negeri pertama menjadi tuan rumah program itu yang dianjurkan secara bersama antara SKMM dan kerajaan negeri.
Beliau berkata seminar sehari itu bertujuan memberi kesedaran dan mendidik masyarakat khususnya penjawat awam terhadap kepentingan penggunaan media sosial secara berhemah selain memberi pemahaman mengenai perundangan Internet di negara ini.
Encik Encik Zulkarnain Bin Mohd Yasin, Ketua Pegawai Keselamatan Rangkaian dan Penguatkuasaan SKMM menyampaikan ucapan aluan. | |
Tuan Ahmad Noordin Ismail antara panelis yang berucap dalam seminar tersebut. | |
YB Dato' Nolee Ashilin Mohammed Radzi menyantuni peserta yang hadir dalam seminar tersebut. | |
YB Dato' Nolee Ashilin Binti Mohammed Radzi bersama tetamu kehormat sempena seminar tersebut. | |
Antara tetamu yang hadir dalam seminar berkenaan. |
Sumber : Korporat, SUK Perak.