Majlis Iftar YB SUK Bersama Ahli Kesedar Dan Keluarga 2024.
YB Setiausaha Kerajaan Negeri bersama Ahli Jawatankuasa KESEDAR
IPOH, 31 Mac 2024 - YB Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato' Ahmad Suaidi bin Abdul Rahim hari ini hadir bagi menyempurnakan Majlis Iftar Bersama Ahli Kelab Seri Perak Darul Ridzuan (KESEDAR) dan Ahli Keluarga 2024 yang berlangsung di Dewan Bankuet, Bangunan Perak Darul Ridzuan, di sini.
Majlis anjuran KESEDAR itu merupakan acara tahunan dan pada tahun ini seramai 920 ahli kelab bersama keluarga telah hadir bagi memeriahkan majlis.
Selain perkongsian rezeki, majlis tersebut bertujuan merapatkan persaudaraan dan kebersamaan antara ahli-ahli KESEDAR dan keluarga.
Hadir sama, YB Penasihat Undang-Undang Negeri, Dato' Azmir Shah bin Zainal Abidin; YB Pegawai Kewangan Negeri, Dato' Mohd Zaki bin Mahyudin; YBhg. Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri (Pengurusan) merangkap Naib Yang Dipertua KESEDAR, Dato' Norsham binti Rahman; YBrs. Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri (Pembangunan), Puan Halizah binti Sipun serta ketua-ketua jabatan Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Perak.
Terdahulu, majlis telah dimulakan dengan tazkirah Ramadan oleh penceramah jemputan, YBrs. Ustaz Mohammad Bakri bin Abdul Rahim dan disusuli dengan bacaan tahlil dan doa.
Majlis tersebut berlangsung dengan suasana santai dengan pelbagai juadah disediakan serta persembahan menarik daripada Kumpulan Selendang Perak.
Sebelum mengakhiri majlis, YB Dato' Ahmad Suaidi bin Abdul Rahim berkesempatan untuk beramah mesra bersama hadirin yang hadir serta menyampaikan sumbangan duit raya kepada anak-anak ahli KESEDAR.

Jawatan Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri Perak (Pengurusan) disandang oleh YBhg. Dato' Nor Sham Binti Rahman. Beliau berkelulusan L.L.B. (HONS) (UIA) dan D.P.A. (INTAN). Beliau memulakan perkhidmatan dalam kerajaan pada 15 September 1997 sebagai Penolong Pengarah, Unit Pengurusan Dan Profesional, Bahagian Perkhidmatan, Jabatan Perkhidmatan Awam.
Jawatan Setiausaha Kerajaan Negeri Perak disandang oleh YB Dato Ahmad Suaidi bin Abdul Rahim. Dilahirkan pada 11 Mac 1970 di Pantai Remis, Perak, beliau telah memulakan kerjayanya sebagai Pegawai Tadbir dan Diplomatik pada 15 Januari 1996 dan pernah berkhidmat sebagai Timbalan Setiausaha Kerajaan (Pembangunan) Negeri Selangor, Pengarah Pejabat Tanah dan Galian Negeri Selangor dan Pegawai Daerah di Hulu Selangor dan Gombak.