Skip to main content

Kerajaan Negeri Fokus Bangunkan Agropelancongan.

YAB Dato’ Seri Saarani bin Mohamad ketika menyempurnakan gimik pelancaran.

LENGGONG, 20 Mei 2024 - Kerajaan negeri komited membangunkan industri agropelancongan secara holistik dan mampan bagi menjana lebih banyak peluang pekerjaan, mencipta perusahaan baharu dan membantu meningkatkan taraf sosioekonomi rakyat.

YAB Menteri Besar Perak, Dato’ Seri Saarani bin Mohamad berkata demikian ketika merasmikan Karnival Agropelancongan Perak 2024 (PAC 2024) di Resort Tasik Raban, di sini.

“Elemen alam, warisan, budaya, pertanian dan penternakan sudah cukup menyerlahkan reputasi Lenggong sebagai antara destinasi agropelancongan bertaraf dunia.

“Meskipun hanya sebuah daerah kecil, Lenggong menawarkan kepada dunia warisan sejarah, khazanah geologi dan aktiviti pertanian yang pelbagai. Dari gua-gua prasejarah yang menyimpan rahsia kehidupan zaman silam, sehinggalah kepada penternakan rusa terbesar di Perak yang menawarkan pengalaman agropelancongan yang unik, Lenggong sememangnya destinasi yang mesti dikunjungi,” jelasnya.

Hadir sama, YB Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr. Shamsul Anuar bin Haji Nasarah; YB Penasihat Undang-Undang Negeri, Dato’ Azmir Shah bin Zainal Abidin; YB Pegawai Kewangan Negeri, Dato’ Mohd Zaki bin Mahyudin; YBhg. Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Pembangunan Pertanian Negeri Perak (SADC Perak), Dato' Haji Yahanis bin Yahya dan YBrs. Pengarah Pertanian Negeri, Ts. Norsiyenti binti Othman.

YBhg. Dato' Haji Yahanis bin Yahya berkata, SADC Perak menyasarkan sumbangan RM6 juta kepada pendapatan negeri dalam industri agropelancongan bersempena penganjuran julung kalinya Karnival Agropelancongan Perak 2024 (PAC 2024).

“Kita sasarkan peningkatan sebanyak RM6 juta kepada industri agropelancongan negeri. Penganjuran PAC 2024 akan memberi kesan positif kepada pertumbuhan ekonomi negeri Perak secara keseluruhan. Bertitik tolak daripada penganjuran karnival ini, limpahan ekonomi akan menjana kebaikan berterusan kepada daerah Lenggong khususnya dan Perak secara amnya.

“Dengan pelaksanaan yang berterusan, acara ini dapat menarik lebih banyak pelancong dari dalam dan luar negara, meningkatkan potensi pertanian dan pelancongan di kawasan tersebut, serta membuka peluang baru untuk usahawan tempatan dan penyumbang ekonomi.

“Selain itu, inisiatif seperti ini juga dapat mempromosikan kelestarian alam dan budaya tempatan, yang mana merupakan aspek penting dalam pembangunan industri pelancongan yang bertanggungjawab,” katanya di karnival berkenaan.

PAC 2024 diadakan bermula 17 Mei hingga 19 Mei dengan kehadiran lebih 20,000 pengunjung.

Karnival yang membabitkan penyertaan lebih 100 usahawan dan operator dari seluruh negeri itu memuatkan pelbagai aktiviti seperti pameran agropelancogan, perlumbaan perahu naga dan forum keusahawanan.

Selain turut menawarkan potongan harga sehingga 70 peratus bagi 50 pakej menarik berasaskan produk agropelancongan.

FaLang translation system by Faboba
  • Hakmilik © 2020 Kerajaan Negeri Perak. Kemaskini Terakhir : Khamis 27 November 2025, 04:19:41.
Paparan Terbaik: 1600 x 900 Piksel melalui Mozilla Firefox dengan resolusi SUSUN ATUR RESPONSIF.