Skip to main content

YAB Perdana Menteri Umum Lulus Projek Penyaluran Air Sungai Perak Ke Empangan Bukit Merah.

YAB Dato' Seri Anwar bin Ibrahim menyampaikan ucapan perasmian.

BAGAN SERAI, 15 Jun 2024 - Kerajaan Persekutuan secara dasarnya bersetuju meluluskan peruntukan dianggarkan RM4 billion bagi pelaksanaan projek penyaluran air mentah dari Sungai Perak ke Empangan Bukit Merah di Kerian yang sebahagiannya akan digunakan untuk pembekalan air terawat ke Pulau Pinang.

YAB Perdana Menteri, Dato' Seri Anwar bin Ibrahim mengumumkan perkara tersebut ketika merasmikan Majlis Peluncuran Pelan Induk Taman Perindustrian Bersepadu Hijau Kerian (KIGIP) di Dewan Dato’ Zainal Abidin Zin, Jalan Alor Pongsu, di sini.

“Projek ini harus dijadikan keutamaan untuk rakyat Utara Perak dan Seberang Perai kerana ia adalah penyelesaian jangka masa yang panjang.

“Menurut kajian yang telah dilakukan, jika bekalan air di Perak dapat diuruskan dengan baik, ia boleh menyelesaikan dua masalah iaitu banjir dan keperluan bekalan air. Oleh itu, bekalan air dari Sungai Perak bukan sahaja cukup malah melebihi,” jelasnya.

Hadir sama, YAB Timbalan Perdana Menteri II merangkap Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA), Dato’ Sri Haji Fadhilah bin Haji Yusof; YAB Menteri Besar Perak, Dato' Seri Saarani bin Mohamad; YAB Ketua Menteri Pulau Pinang, Encik Chow Kon Yeow; YB Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Utama Zafrul bin Tengku Abdul Aziz; Yang Di-Pertua Dewan Negeri Perak, YB Dato’ Mohammad Zahir bin Dato’ Abdul Khalid; YB Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Ahmad Suaidi bin Abdul Rahim; YB Penasihat Undang-Undang Negeri, Dato' Azmir Shah bin Zainal Abidin; YB Pegawai Kewangan Negeri, Dato’ Mohd Zaki bin Mahyudin dan barisan YB Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri.

Pada masa yang sama, Kerajaan Negeri Perak turut berhasrat mengemukakan permohonan pembinaan susur keluar baharu dari KIGIP ke Lebuhraya PLUS yang dianggarkan berjumlah RM60 juta serta dilengkapi dengan kemudahan surau dan tandas.

YAB Dato' Seri Saarani bin Mohamad mengumumkan perkara demikian ketika menyampaikan ucapan aluan di majlis tersebut.

“Lokasi yang dicadangkan terletak di antara 3.6 kilometer (km) dari Plaza Tol Alor Pongsu arah utara dan ia akan menjadi gerbang masuk utama ke KIGIP.

“Pembinaan tersebut dapat dimanfaatkan oleh penduduk sekitar antaranya Bagan Serai, Kampung Sungai Bogak, Kampung Tali Air dan Pekan Simpang Lima,” katanya.

FaLang translation system by Faboba
  • Hakmilik © 2020 Kerajaan Negeri Perak. Kemaskini Terakhir : Khamis 27 November 2025, 04:19:41.
Paparan Terbaik: 1600 x 900 Piksel melalui Mozilla Firefox dengan resolusi SUSUN ATUR RESPONSIF.