Skip to main content

Kerajaan Perak Fokus Lahirkan Pegawai Cekap, Berdaya Saing.

YB Setiausaha Kerajaan Negeri ketika menyampaikan ucapan.

IPOH, 18 Jun 2024 - Kerajaan Negeri Perak sentiasa mengambil langkah proaktif untuk memantapkan kemahiran dan kebolehan para pegawai ke arah mencapai sistem perkhidmatan awam yang cekap serta berdaya saing tinggi dengan mengadakan Program Hadiah Latihan Negeri (HLN) 2024.

Pelaksanaan program tersebut akan dilakukan di tiga buah negara iaitu di Jogjakarta, Indonesia; Melbourne, Australia dan United Kingdom di mana secara tidak langsung para pegawai yang terpilih akan menjadi duta kecil kerajaan Negeri Perak dalam menjalinkan kerjasama dengan institusi pendidikan dan organisasi antarabangsa.

Pada tahun ini, seramai 52 orang pegawai telah dipilih bagi mengikuti program tersebut di mana pelaksanaan program itu terbahagi kepada empat iaitu Program Kepimpinan Dinamik: Memacu Kecemerlangan Dalam Perkhidmatan (Khas Untuk Pegawai Peringkat Penyeliaan) bagi Gred 22 hingga 28 dan Gred 29 hingga 40; Strategic and High-Impact Leaders Programme bagi Gred 41 hingga 44 dan Senior Leadership Programme for Senior Public Sector Officers “Leading with Impact 2.0” bagi pegawai Gred 48 hingga 54.

YB Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Ahmad Suaidi bin Abdul Rahim berkata, program sebegini buat julung kali diadakan bagi gred pelaksana dan pada kali ini seramai 30 orang akan dihantar ke Jogjakarta bagi melihat cara pengurusan pentadbiran di sana yang dijadikan contoh oleh negara-negara lain.

“Kepada mereka yang terpilih, saya berharap agar tuan-puan untuk menjaga tatasusila dan kelakuan sepanjang berada di sana kerana anda membawa imej negeri Perak dan masih termaktub di bawah Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993.

“Begitu juga bagi mereka yang akan ke Australia dan United Kingdom, saya mempunyai harapan yang tinggi agar mereka ini dapat menggunakan platform ini sebagai rangkaian dengan negara lain kerana kita sekarang ke arah menarik pelaburan masuk ke negeri Perak,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perjumpaan Bersama YB Setiausaha Kerajaan Negeri Berkenaan Program Hadiah Latihan Negeri Perak Tahun 2024 di Dewan Serbaguna, Bangunan Perak Darul Ridzuan, di sini.

Hadir sama, YBrs. Setiausaha Bahagian, Bahagian Pengurusan Sumber Manusia, Pegawai-Pegawai Daerah dan Yang Dipertua Pihak Berkuasa Tempatan (PBT).

Dalam perkembangan sama, Program HLN merupakan satu pelaburan besar daripada Kerajaan Negeri Perak dalam menterjemahkan komitmen organisasi terhadap pembangunan professional penjawat awam bagi memberi peluang untuk pengembangan diri, meningkatkan motivasi, menggalakkan pemikiran yang lebih terbuka dan inovatif untuk menghadapi cabaran serta kepuasan dalam pekerjaan.

Diharapkan agar penglibatan pegawai bagi program luar negara seumpama ini bukan sahaja akan dapat memantapkan lagi kemahiran dalam bidang tugas masing-masing tetapi para pegawai yang telah terpilih juga dapat mengadaptasi pengalaman daripada sesi libat urus dan lawatan yang akan dilaksanakan sepanjang program.

FaLang translation system by Faboba
  • Hakmilik © 2020 Kerajaan Negeri Perak. Kemaskini Terakhir : Isnin 23 Jun 2025, 09:05:57.
Paparan Terbaik: 1600 x 900 Piksel melalui Mozilla Firefox dengan resolusi SUSUN ATUR RESPONSIF.