Mesyuarat Agung KESEDAR Kali Ke-28 Tahun 2024.

YBhg. Dato’ Nor Sham binti Rahman menyampaikan ucapan perasmian.
IPOH, 27 Jun 2024 - Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri (Pengurusan), YBhg. Dato’ Nor Sham binti Rahman merangkap Naib Yang Dipertua Kelab Seri Perak Darul Ridzuan (KESEDAR) telah mewakili Yang Dipertua KESEDAR, YB Dato’ Ahmad Suaidi bin Abdul Rahim bagi menyempurnakan pelancaran fasa 1 pembangunan Sistem Pendaftaran Keahlian KESEDAR.
Pelancaran tersebut telah berlangsung ketika Mesyuarat Agung KESEDAR Kali Ke-28 Tahun 2024 di Dewan Bankuet, Bangunan Perak Darul Ridzuan.
“Saya dimaklumkan sehingga 30 Mei 2024 keahlian KESEDAR adalah seramai 876 orang. Bagi memastikan KESEDAR kekal relevan dan sentiasa kehadapan, KESEDAR dengan kerjasama Bahagian Pengurusan Maklumat (BPM) telah berkolaborasi bagi merealisasikan Sistem Pendaftaran Keahlian KESEDAR.
“Bagi pihak Yang Dipertua KESEDAR, saya mengucapkan ribuan terima kasih kepada Setiausaha Bahagian BPM, Encik Haji Mohamad Fadzli bin Haji Tarmizi serta pasukan beliau kerana telah bertungkus-lumus merealisasikan sistem ini. Ia bagi memastikan koordinasi maklumat ahli KESEDAR mengikut bahagian adalah tepat,” jelasnya ketika membacakan perutusan ucapan mewakili YB Dato’ Ahmad Suaidi bin Abdul Rahim.
Beliau turut mengucapkan tahniah atas komitmen yang diberikan oleh setiap ahli KESEDAR.
Tambahnya lagi, melalui aktiviti berpersatuan, seseorang bukan sahaja dapat meningkatkan kapasiti profesional dan peribadi mereka tetapi juga dapat memperkuatkan ikatan sosial disamping mempromosikan budaya kerja yang lebih inklusif dan kolaboratif.
Majlis diteruskan lagi dengan sesi penyerahan hadiah anak-anak ahli KESEDAR yang cemerlang dalam peperiksaaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun 2023 diikuti penyerahan hadiah persaraan wajib dan simbolik penyerahan cenderamata kepada ahli KESEDAR yang diwakili oleh ketua-ketua jabatan.
Seterusnya, YBhg. Dato’ Nor Sham binti Rahman mempengerusikan sesi pembentangan pengesahan minit mesyuarat, penyata kewangan serta laporan aktiviti KESEDAR bagi tahun 2023 sehingga Mei 2024.
Hadir sama, YBrs. Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri (Pembangunan), Puan Halizah binti Sipun dan YBrs. Pengarah Majlis Sukan Negeri (MSN) Perak, Encik Haji Mazlan bin Mohamad.
Mesyuarat diakhiri dengan pemberian cabutan bertuah kepada ahli yang hadir.
Sumber : Korporat, SUK Perak.