Sidang DUN Perak Bermula 9 Julai Ini.

Hadir sama, YB Cik Jenny Choy Tsi Jen dan YBrs. Encik Abdul Majid bin Abdul Rahim
IPOH, 4 Julai 2024 - Mesyuarat Kedua, Tahun Kedua, Dewan Negeri Yang Ke-15 Perak Darul Ridzuan akan berlangsung pada 9 Julai hingga 11 Julai ini.
YB Yang Di-Pertua Dewan Negeri Perak, Dato’ Mohammad Zahir bin Dato’ Abdul Khalid berkata, seperti kelaziman, sepanjang tiga hari persidangan tersebut, sesi soalan lisan akan berlangsung dengan tempoh selama tiga jam.
"Pada persidangan kali ini, Setiausaha Dewan Negeri telah menerima dua usul dari dua orang Ahli Dewan Negeri iaitu kawasan Keranji dan Simpang Pulai,” jelasnya.
Beliau berkata demikian pada sidang media khas di Bilik Sidang Media, Bangunan Perak Darul Ridzuan, di sini.
"Yang pertama adalah, usul mengenai cadangan memperkenalkan enakman atau peraturan baharu berkaitan pengawalan haiwan-haiwan berkeliaran di negeri Perak dengan mewujudkan satu jawatankuasa pilihan khas dewan yang dianggotai oleh ahli-ahli dewan negeri yang berkenaan untuk tujuan dan maksud tersebut.
"Keduanya adalah usul mengenai cadangan mengadakan persidangan khas bagi menangani isu fenomena cuaca ekstrem dan perubahan iklim serta banjir kilat yang akan memberi kesan kepada kehidupan rakyat di negeri ini.
"Seramai enam orang Ahli Dewan Negeri akan diberikan peluang untuk berbahas bagi setiap usul iaitu tiga orang ahli daripada kerajaan dan tiga orang ahli daripada pembangkang.
"Manakala bagi Ahli Dewan Negeri yang lain adalah selama 15 minit setiap seorang,” katanya.
Hadir sama, YB Timbalan Yang Di-Pertua Dewan Negeri Perak, Cik Jenny Choy Tsi Jen dan Setiausaha Dewan Negeri, YBrs. Encik Abdul Majid bin Abdul Rahim.
Penonton boleh mengikuti siaran langsung persidangan ini melalui saluran YouTube DUN Perak dan laman Facebook rasmi, Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Perak.
Dewan Negeri turut mengalu-alukan mana-mana pihak yang berhasrat untuk datang mengikuti persidangan Dewan Negeri secara langsung. Permohonan boleh dihantar ke Bahagian Dewan Negeri dan Majlis Mesyuarat Kerajaan, Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Perak.
Pas pemerhati akan diberikan bagi memudahkan urusan sepanjang perjalanan persidangan Dewan Negeri.
Sumber : Korporat, SUK Perak.