DYMM Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan Berkenan Rasmi ABPM Wilayah Utara.

DYMM Paduka Seri Sultan Perak berkenan menandatangani buku pelawat.
TRONOH, 23 Julai 2024 - DYMM Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah Ibni Almarhum Sultan Azlan Muhibbuddin Shah Al-Maghfur-Lah dan DYMM Raja Permaisuri Perak Darul Ridzuan, Tuanku Zara Salim berkenan bercemar duli berangkat ke Majlis Perasmian Akademi Bomba dan Penyelamat Malaysia (ABPM) Wilayah Utara, di sini.
Turut berkenan berangkat, DYAM Raja DiHilir Perak Darul Ridzuan, Raja Iskandar Dzurkarnain ibni Almarhum Sultan Idris A’fifullah Shah dan DYAM Raja Puan Muda Perak Darul Ridzuan, Tunku Soraya binti Almarhum Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah.
Keberangkatan tiba baginda pada jam 10.30 pagi itu telah disambut oleh YAB Menteri Besar Perak, Dato’ Seri Saarani bin Mohamad dan isteri, YABhg. Datin Seri Aezer binti Zubin serta YB Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Tuan Nga Kor Ming.
Hadir sama, YTM Raja Kecil Tengah Perak Darul Ridzuan, Raja Dato’ Seri Iskandar bin Raja Ziran @ Raja Zaid; YABhg. Orang Kaya Bendahara Seri Maharaja, Jen. Dato’ Seri DiRaja Tan Sri (Dr.) Mohd. Zahidi bin Haji Zainuddin (Bersara) dan isteri, YABhg. Toh Puan Datin Seri Diraja Puan Sri Hajah Rasiah binti Md. Nor; Yang DiPertua Dewan Negeri, YB Dato' Mohammad Zahir bin Abdul Khalid dan isteri, YBhg. Datin Aznee binti Abu Samah; YB Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Ahmad Suaidi bin Abdul Rahim dan isteri, YBhg. Datin Che Fauziah binti Ahmad serta YBhg. Ketua Setiausaha Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Datuk Wira M Noor Azman bin Taib.
Turut hadir, YB Penasihat Undang-Undang Negeri, Dato’ Azmir Shah bin Zainal Abidin; YB Pegawai Kewangan Negeri, Dato’ Mohd Zaki bin Mahyudin; YAS Ketua Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Dato’ Ts. Nor Hisham bin Mohammad; YB Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri; YB Ahli-Ahli Dewan Negeri; Orang Besar-Orang Besar Jajahan serta ketua-ketua jabatan negeri dan persekutuan.
Pada majlis tersebut, DYMM Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan berkenan menyempurnakan lafaz perasmian dan menandatangani plak sebagai simbolik perasmian ABPM Wilayah Utara.
Baginda kemudiannya dipersembahkan dengan persembahan operasi penyelamatan Road Traffic Accident (RTA) dan operasi mencari dan menyelamat di air oleh Pasukan Penyelamat di Air (PPDA) dan Pasukan Khas Udara Bomba (PASKUB).
Persembahan operasi kebombaan tersebut mempamerkan kemampuan pasukan khas serta aset jabatan yang sentiasa berada dalam keadaan siapsiaga untuk digunakan dalam keadaan penyelamatan tertentu.
Usai majlis perasmian tersebut, baginda kemudiannya dibawa melawat ke ruang pameran yang disediakan sebelum berangkat pulang.
Dalam perkembangan sama, ABPM Wilayah Utara dibina di atas tanah berkeluasan 111 ekar lengkap dengan blok pentadbiran, bilik kuliah, padang kawad, garaj kenderaan, blok asrama, dewan makan serta surau dengan kos pembinaan keseluruhan berjumlah RM40 juta.
Akademi tersebut telah siap dibina pada tahun 2014 dan telah beroperasi sepenuhnya dengan kekuatan kakitangan seramai 50 orang pegawai diketuai seorang Komandan.
Kini, ABPM Wilayah Utara dilengkapi fasiliti seperti simulator Compartment Fire Behaviour Training (CFBT), Breathing Apparatus Training Gallery (BATG), Rel Keretapi dan Simulator Gas Spill serta menawarkan latihan penyelamatan di air seperti kursus pengendalian bot dan pemantapan latihan bagi pasukan khas Pasukan Penyelamatan di Air (PPDA) dengan memanfaatkan kemudahan lombong sedia ada di sini.
Sumber : Korporat, SUK Perak.