DYMM Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan Titah Umat Islam Seluruh Dunia Perlu Bersatu Ketika Konflik.
DYMM Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan ketika menyampaikan ucaptama diraja.
IPOH, 29 Julai 2024 - DYMM Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah Ibni Almarhum Sultan Azlan Muhibbuddin Shah Al-Maghfur-Lah bertitah agar umat Islam di seluruh dunia bersatu dalam usaha membantu masyarakat yang menghadapi kesusahan dan kemiskinan, terutama di negara-negara yang terjebak dalam konflik serta peperangan.
Baginda bertitah, dengan jumlah umat Islam yang besar serta kekayaan dan keistimewaan yang dimiliki, kebersatuan mereka dapat mempengaruhi dasar-dasar dunia Islam dan memberikan impak positif kepada seluruh umat Islam.
"Umat Islam memiliki satu kalimah, satu kiblat, dan satu Al-Quran. Iman menyatukan ummah melalui asas ini serta menggesa kita semua untuk berdiri bersama dan melalui kebersamaan tersebut, mereka yang paling miskin dan lemah boleh menjadi kuat.
"Namun, pada masa ini, ummah kita tidak dapat melakukan banyak perkara untuk membantu berjuta-juta umat Islam yang menderita dalam kemiskinan, termasuk mereka yang berada di Gaza," titah baginda.
Baginda bertitah demikian ketika menyempurnakan Perasmian Persidangan Pemikiran dan Tamadun Islam Sedunia (WCIT) 2024 dI Pusat Konvensyen Casuarina, di sini.
Hadir sama, YAB Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar bin Ibrahim; YAB Menteri Besar Perak, Dato’ Seri Saarani bin Mohamad; YAB Timbalan Perdana Menteri, Dato' Seri Dr. Ahmad Zahid Bin Hamidi; Bekas Naib Presiden Indonesia, Muhammad Jusuf Kalla; YABhg. Orang Kaya Bendahara Seri Maharaja, Jen. Dato’ Seri DiRaja Tan Sri (Dr.) Mohd. Zahidi bin Haji Zainuddin (Bersara); YB Menteri Pendidikan Tinggi, Dato’ Seri Diraja Dr. Zambry bin Abdul Kadir; YB Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr. Shamsul Anuar bin Hj. Nasarah; YB Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr. Zulkifli bin Hassan dan Yang DiPertua Dewan Negeri, YB Dato' Mohammad Zahir bin Abdul Khalid.
Turut hadir, YB Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Ahmad Suaidi bin Abdul Rahim; YB Penasihat Undang- Undang Negeri, Dato’ Azmir Shah bin Zainal Abidin; YB Pegawai Kewangan Negeri, Dato’ Mohd Zaki bin Mahyudin; Barisan Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri; YBhg. Pro- Canselor II Universiti Sultan Azlan Shah (USAS), Tan Sri Dato’ Dr. Nordin bin Kardi; YBhg. Naib Canselor USAS, Prof. Dato’ Dr. Wan Sabri bin Wan Yusof; YBhg. Pengerusi Ahli Lembaga Pengarah USAS Berhad, Prof Tan Sri Dato’ Seri Dr. Noor Azlan bin Ghazali serta ketua-ketua jabatan negeri dan persekutuan.
Titah DYMM Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan lagi, laporan terbaru Indeks Pembangunan Manusia (HDI) Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menunjukkan pemulihan global yang tidak sekata. Laporan tersebut menggariskan bagaimana jurang antara negara dengan tahap pembangunan tertinggi dan terendah semakin melebar, dengan negara-negara di peringkat bawah indeks berisiko ketinggalan lebih jauh.
Jelas baginda, sejak Oktober 2022, dua konflik utama yang mempengaruhi populasi majoriti umat Islam telah meletus, iaitu perang saudara di Sudan dan konflik di Gaza. Sementara itu, perang di Ukraine yang telah memasuki tahun ketiga, terus menyebabkan kesusahan yang mendalam dan berpanjangan kepada rakyat negara tersebut.
“Dalam menghadapi konflik-konflik ini, orang awam yang tidak berdosa dari pelbagai latar belakang agama, termasuk ribuan wanita dan kanak-kanak, mengalami penderitaan yang berat. Mereka terpaksa menghadapi kematian, kecederaan, dan paksaan untuk meninggalkan rumah mereka.
“Memandangkan trend HDI PBB dan konflik dahsyat ini, adalah wajar tumpuan diberikan kepada kemanusiaan.
"Ummah tidak berdiri bersama sehingga semua berdiri. Ummah juga tidak boleh berpuas hati untuk meninggalkan seorang ahli komuniti global di belakang. Sesungguhnya menjadi kewajiban ummah untuk saling membantu.
"Jadi ummah mesti mengambil tindakan untuk membantu orang Islam dan bukan Islam yang lemah sebelum terlambat," titah baginda.
Dalam perkembangan sama, Persidangan Pemikiran dan Tamadun Islam Sedunia kali ke-7 anjuran Universiti Sultan Azlan Shah (USAS) kali ini membawa tema Berdiri Bersama: Umat Islam dan Kemanusiaan Sejagat.
Persidangan yang berlangsung selama tiga hari itu merupakan platform utama bagi pemimpin serantau dan antarabangsa, cendekiawan, intelektual, professional serta masyarakat umum di samping menjadi ruang pertukaran pandangan yang konstruktif dalam menyelesaikan isu-isu kontemporari yang mempengaruhi dunia masa kini.
Sumber : Korporat, SUK Perak.

Jawatan Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri Perak (Pengurusan) disandang oleh YBhg. Dato' Nor Sham Binti Rahman. Beliau berkelulusan L.L.B. (HONS) (UIA) dan D.P.A. (INTAN). Beliau memulakan perkhidmatan dalam kerajaan pada 15 September 1997 sebagai Penolong Pengarah, Unit Pengurusan Dan Profesional, Bahagian Perkhidmatan, Jabatan Perkhidmatan Awam.
Jawatan Setiausaha Kerajaan Negeri Perak disandang oleh YB Dato Ahmad Suaidi bin Abdul Rahim. Dilahirkan pada 11 Mac 1970 di Pantai Remis, Perak, beliau telah memulakan kerjayanya sebagai Pegawai Tadbir dan Diplomatik pada 15 Januari 1996 dan pernah berkhidmat sebagai Timbalan Setiausaha Kerajaan (Pembangunan) Negeri Selangor, Pengarah Pejabat Tanah dan Galian Negeri Selangor dan Pegawai Daerah di Hulu Selangor dan Gombak.