Skip to main content

Penyimpan Besar Mohor Raja-Raja Dahului 59 Penerima Darjah Kebesaran Negeri Perak.

DYMM Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan dan DYMM Raja Permaisuri Perak Darul Ridzuan ketika Istiadat Menghadap Sembah Taat Setia dan Penganugerahan Darjah Kebesaran Negeri Perak

KUALA KANGSAR, 9 November 2024 - YBhg. Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja, Tan Sri Syed Danial bin Syed Ahmad mendahului senarai 59 orang penerima Darjah Kebesaran dan Pingat Negeri Perak sempena Sambutan Ulang Tahun Keputeraan Ke-68, DYMM Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah Ibni Almarhum Sultan Azlan Muhibbuddin Shah Al-Maghfur-Lah.

Beliau yang dilantik sebagai Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja pada 10 Januari 2011, dikurniakan Darjah Dato' Seri Paduka Mahkota Perak (SPMP) yang membawa gelaran Dato’ Seri.

Turut dikurniakan darjah yang sama adalah YBhg. Ketua Audit Negara; Dato' Seri Wan Suraya binti Wan Mohd Radzi dan YBhg. Pengerusi Eksekutif Yee Lee Corporation, Dato’ Seri Lim Kok Cheong @ Lim A Heng.

Manakala bagi Darjah Dato’ Paduka Cura Si Manja Kini (DPCM) yang membawa gelaran Dato' telah dikurniakan kepada seorang penerima iaitu YBhg. Ketua Setiausaha Kementerian Ekonomi, Dato' Seri Nor Azmie bin Diron.

Pada istiadat itu, DYMM Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan turut berkenan mengurniakan Darjah Dato' Paduka Mahkota Perak (DPMP) yang membawa gelaran Dato' kepada lapan orang penerima iaitu YBhg. Naib Cancelor Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Prof Dato' Seri Dr. Md Amin bin Md Taff; YBhg. Penulis Undangan Akhbar New Straits Times (NST), Dato' Abdul Rahim bin Mydin; YBhg. Pengarah Jabatan Agama Islam negeri Perak (JAIPk), Dato' Harith Fadzilah bin Abdul Halim dan YBhg. Ketua Perkhidmatan Otorinolaringologi, Hospital Raja Permaisuri Bainun, Dato' Dr. D Philip Rajan.

Lain-lain penerima DPMP adalah YBhg. Ketua Pengarah Perpustakaan Negara, Dato' Salasiah binti Abdul Wahab; YBhg. Pengerusi Lembaga Penasihat Jabatan Perdana Menteri, Dato' Yong Zarida binti Sazali; YBhg. Duta Besar Kedutaan Malaysia The Haque Belanda, Dato' Roseli bin Abdul dan YBhg. Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Menteri Besar Perak (MB inc), Dato' Anuar bin Zainal Abidin.

Darjah Kebesaran dan Pingat Negeri Perak itu telah dikurniakan oleh DYMM Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah Ibni Almarhum Sultan Azlan Muhibbuddin Shah Al-Maghfur-Lah dalam satu istiadat di Balairung Seri, Istana Iskandariah, di sini.

Berangkat mengiringi baginda DYMM Raja Permaisuri Perak Darul Ridzuan, Tuanku Zara Salim.

Turut berkenan berangkat, DYTM Raja Muda Perak Darul Ridzuan, Raja Jaafar ibni Almarhum Raja Muda Musa; DYAM Raja Dihilir Perak Darul Ridzuan, Raja Iskandar Dzurkarnain ibni Almarhum Sultan Idris A’fifullah Shah dan DYAM Raja Puan Muda Perak Darul Ridzuan, Tunku Soraya binti Almarhum Sultan Abdul Halim.

Hadir sama, YAB Menteri Besar Perak, Dato' Seri Saarani bin Mohamad; YBhg. Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri bin Abu Bakar; YABhg. Orang Kaya Bendahara Seri Maharaja, Jen. Dato’ Seri DiRaja Tan Sri (Dr.) Mohd. Zahidi bin Haji Zainuddin (Bersara); Yang di-Pertua Dewan Negeri, YB Dato' Mohd Zahir bin Abdul Khalid; YB Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato' Ahmad Suaidi bin Abdul Rahim; YB Penasihat Undang-Undang Negeri, Dato' Azmir Shah bin Zainal Abidin; YB Pegawai Kewangan Negeri, Dato' Mohd Zaki bin Mahyudin; YB Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri, YB Ahli-Ahli Dewan Negeri dan Dewan Negara serta ketua-ketua jabatan negeri dan persekutuan.

DYMM Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan juga berkenan mengurniakan Darjah Dato’ Pahlawan Taming Sari (DPTS) yang membawa gelaran Dato’ Pahlawan kepada enam orang penerima.

FaLang translation system by Faboba
  • Hakmilik © 2020 Kerajaan Negeri Perak. Kemaskini Terakhir : Khamis 27 November 2025, 04:19:41.
Paparan Terbaik: 1600 x 900 Piksel melalui Mozilla Firefox dengan resolusi SUSUN ATUR RESPONSIF.