Skip to main content

Lawatan Mahabbah Dan Kenduri Rakyat YAB Perdana Menteri Ke Pusat Pengajian Islam At-Tayyibin.

YAB Dato' Seri Anwar bin Ibrahim menyampaikan ucapan di pusat pengajian berkenaan.

CHEMOR, 20 Disember 2024 - YAB Dato' Seri Anwar bin Ibrahim, Perdana Menteri telah mengumumkan peruntukan RM1 juta kepada Pusat Pengajian Islam At-Taiyyibin, Tanah Hitam sempena Lawatan Mahabbah dan Kenduri Rakyat di pusat pengajian tersebut.

"Saya mengucapkan setinggi penghargaan kepada semua yang telah mengusahakan pusat pengajian ini termasuklah penduduk di sekitarnya.

"Ini satu perkara yang membanggakan kerana mereka telah mengambil ikhtiar sendiri untuk membangunkan tanah wakaf ini," ujarnya.

Tambahnya lagi, pusat pengajian bertujuan untuk memperbaiki akhlak dan adab serta menguasai ilmu-ilmu asas agama.

"Matlamat kita sebenarnya adalah untuk mendidik masyarakat, memberi kefahaman dan mengangkat martabat seseorang manusia. Oleh kerana itu, kita mempunyai pusat pengajian yang bukan sahaja untuk menimba ilmu tetapi memperbaiki adab dan akhlak," katanya ketika menyampaikan ucapan.

Selain itu, beliau berkata pembinaan masjid adalah tanggungjawab semua orang.

"Sesetengah orang dia salah faham, dia ingat ini adalah dari segi peruntukan kerajaan. Tetapi, setiap orang mesti paling kurang menyumbang RM1 sahamnya untuk membina masjid.

"Mengimarahkan dan membina masjid itu adalah tanggungjawab semua. Sebab itu saya beri perhatian khas untuk pusat pengajian. Ini kerana, ikhtiarnya untuk membangun membina dan memakmurkan.

"Begitu juga dengan zakat. Jika zakat tidak dibayar, runtuhlah institusi kerana tiada tonggak untuk mempertahankan golongan orang susah dan membela nasib orang miskin.

"Untuk ini, sebagai permulaan saya bagi peruntukan RM1 juta untuk pusat pengajian ini.

"Mudah-mudahan segala ilmu dan kefahaman di sini dapat diangkat untuk menyelamatkan umat dan masyarakat kita," jelasnya.

Hadir sama, YAB Dato’ Seri Saarani bin Mohamad, Menteri Besar Perak; YB Dato’ Ahmad Suaidi bin Abdul Rahim, Setiausaha Kerajaan Negeri Perak; YB Dato' Mohd Zaki bin Mahyudin, Pegawai Kewangan Negeri Perak; YB Dato’ Seri Ir Mohammad Nizar bin Jamaluddin, Pengerusi Jawatankuasa Insfrastruktur, Tenaga, Air dan Pengangkutan Awam serta YBhg. Dato' Dr. Haji Mohd Fadzilah bin Kamsah, Penaung Pusat Pengajian Islam At-Tayyibin.

Pusat Pengajian Islam At-Taiyyibin mendapat kepercayaan dan kebenaran Jabatan Mufti Perak untuk dibangunkan di atas tanah wakaf Majlis Agama Islam Perak serta didaftarkan di bawah Enakmen Kawalan Sekolah-Sekolah Agama Islam Jabatan Agama Islam Perak.

Pembangunan projek di atas tanah seluas 6.508 ekar melibatkan pembinaan rumah pondok moden setingkat, rumah berkembar setingkat, dewan kuliah dan kemasyarakatan serta kompleks pentadbiran.

FaLang translation system by Faboba
  • Hakmilik © 2020 Kerajaan Negeri Perak. Kemaskini Terakhir : Isnin 23 Jun 2025, 09:05:57.
Paparan Terbaik: 1600 x 900 Piksel melalui Mozilla Firefox dengan resolusi SUSUN ATUR RESPONSIF.