Mesyuarat YB SUK Bersama Pegawai Daerah Negeri Perak.

Mesyuarat tersebut bertujuan untuk menekankan pencapaian hasil negeri serta menetapkan matlamat dan hala tuju Perak tahun 2025.
IPOH, 6 Januari 2025 - YB Dato’ Ahmad Suaidi bin Abdul Rahim, Setiausaha Kerajaan Negeri Perak, telah mempengerusikan Mesyuarat YB Setiausaha Kerajaan Negeri Bersama Pegawai Daerah (SSDO) di Bilik Gerakan Negeri, Bangunan Perak Darul Ridzuan, di sini.
Mesyuarat tersebut bertujuan menekankan pencapaian hasil negeri serta menetapkan matlamat dan hala tuju Perak dalam merealisasikan pelaksanaan Program Perak Sejahtera 2030 bagi tahun 2025.
Dalam perutusan beliau, YB Dato’ Ahmad Suaidi menyatakan bahawa fokus utama perancangan pembangunan negeri tahun ini adalah berdasarkan Belanjawan Negeri Perak 2025, yang telah dibentangkan pada 29 November 2024, bertemakan “Perak Makmur, Rakyat Sejahtera”.
“Berdasarkan belanjawan tersebut, peruntukan untuk pembangunan pada tahun ini, iaitu sebanyak RM538.0 juta, merupakan jumlah tertinggi yang pernah diperuntukkan oleh Kerajaan Negeri.
“Oleh itu, peningkatan ini membolehkan pertumbuhan ekonomi negeri terus berdaya saing dan pembangunan dilaksanakan selari dengan Pelan Perak Sejahtera 2030,” katanya.
Turut hadir, YBhg. Dato’ Nor Sham binti Rahman, Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri Perak (Pengurusan); YBrs. Puan Halizah binti Sipun, Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri Perak (Pembangunan); YBhg. Dato’ Mohamad Fariz bin Mohamad Hanip, Pengarah Pejabat Tanah dan Galian Negeri Perak, serta Pegawai-Pegawai Daerah Negeri Perak.
YB Dato’ Ahmad Suaidi turut memaklumkan bahawa perbelanjaan pembangunan melalui Kod P06 Pejabat Daerah dan Tanah pada tahun 2024 telah dibelanjakan dengan baik dan mencatatkan prestasi yang memberangsangkan menjelang penghujung tahun tersebut.
“Oleh itu, sebanyak RM23.32 juta diperuntukkan di bawah Kod P06 untuk Pejabat Daerah dan Tanah di Perak pada tahun ini, dengan kenaikan 15% berbanding 2024. Ini merupakan satu gambaran positif dan melambangkan kepercayaan Kerajaan Negeri kepada pentadbiran daerah dalam melaksanakan projek-projek pembangunan berdasarkan keperluan semasa dan mendesak.
“Walau bagaimanapun, saya ingin mengingatkan semua Pegawai Daerah untuk merancang projek pembangunan dengan teliti mulai suku pertama 2025 serta memastikan peruntukan dibelanjakan sepenuhnya agar manfaatnya dapat dirasai oleh rakyat secara optimum,” ujarnya.
Dalam mesyuarat tersebut, YB Dato’ Ahmad Suaidi turut menzahirkan ucapan tahniah kepada seluruh warga pentadbiran tanah Negeri Perak atas dedikasi dan usaha gigih mereka, yang telah membawa kepada pencapaian bersejarah Negeri Perak pada tahun 2024 apabila kutipan hasil negeri mencapai RM1.0 bilion seawal Oktober 2024.
Sumber : Korporat, SUK Perak.