Kerajaan Negeri Dan Persekutuan Bekerjasama Bagi Projek Ipoh Sentral.
YAB Dato’ Seri Saarani bin Mohamad menyampaikan ucapan di majlis MOU berkenaan
IPOH, 23 Januari 2025 - Projek Ipoh Sentral yang melibatkan kerjasama antara Kerajaan Negeri Perak dan Kerajaan Persekutuan dengan nilai pembangunan kasar (GDV) sebanyak RM6.26 bilion dijangka membawa manfaat besar kepada ekonomi tempatan dan nasional.
YAB Dato’ Seri Saarani bin Mohamad, Menteri Besar Perak berkata kejayaan pembangunan bercampur berkonsepkan Transit Oriented Development (TOD) seperti Tropicana Gardens di Kota Damansara, Bandar Malaysia di Kuala Lumpur dan Astrum Ampang menunjukkan bagaimana konsep pembangunan ini mampu mengubah landskap sesuatu kawasan.
“Dengan inspirasi ini, Ipoh Sentral TOD dirangka untuk menjadi model kejayaan yang serupa di Perak,” jelasnya.
Beliau berkata demikian ketika menyaksikan memorandum perjanjian antara Ipoh Sentral Sdn. Bhd (ISSB) dan Country Annexe Sdn. Bhd di Hotel Weil.
Turut sama menyaksikan majlis menandatangani itu ialah YB Anthony Loke Siew Fook, Menteri Pengangkutan; YBhg. Datuk Haji Hasbi bin Haji Habibollah, Timbalan Menteri Pengangkutan; YBhg. Dato’ Jana Santhiran Muniayan, Ketua Setiausaha Kementerian Pengangkutan merangkap Pengerusi Ipoh Sentral Sdn Bhd; YB Dato’ Ahmad Suaidi bin Abdul Rahim, Setiausaha Kerajaan Negeri Perak merangkap Pengerusi Perbadanan Setiausaha Kerajaan Negeri Perak (SSI); YB Dato' Azmir Shah bin Zainal Abidin, Penasihat Undang-Undang Negeri Perak; YB Dato' Mohd Zaki bin Mahyudin, Pegawai Kewangan Negeri Perak serta YB Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Perak; YABhg. Tan Sri Dato’ Seri Mohd Annuar bin Zaini, Pengerusi Malaysian Resources Corporation Berhad (MRCB) Land Sdn Bhd dan Pengerusi Country Annexe Sdn Bhd; YBhg. Dato’ Azhar bin Ahmad, Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Aset Kereta Api (RAC) dan YBhg. Datuk Imran Salim, Pengarah Urusan Kumpulan MRCB.
Menurut YB Anthony Loke Siew Fook, Ipoh Sentral akan dibangunkan di belakang Stesen Kereta Api Ipoh di keluasan tanah 27 hektar bermula tahun 2025.
Fasa pertama akan melibatkan kawasan seluas 2.6 hektar yang mengekalkan elemen warisan dan budaya. Rumah ibadat dan institusi pendidikan sedia ada akan dipelihara dengan penambahbaikan kawasan landskap dan rekreasi.
Manakala, fasa dua ialah pembangunan bercampur di kawasan seluas 24.7 hektar melibatkan pembinaan pangsapuri servis, ruang pejabat dan komersial, hotel dan kemudahan masyarakat. Fasa ini dijangka mengambil masa 20 tahun untuk disiapkan sepenuhnya.
Pembangunan Ipoh Sentral disertakan dengan elemen mesra alam seperti laluan pejalan kaki, laluan basikal dan ruang hijau yang menyumbang kepada kesejahteraan komuniti.
Selain itu, usaha untuk menggalakkan penyertaan kontraktor Bumiputera melalui program latihan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) bagi langkah signifikan ke arah meningkatkan kapasiti dan kemahiran tenaga kerja tempatan dalam sektor pembinaan.
Sumber : Korporat, SUK Perak.

Jawatan Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri Perak (Pengurusan) disandang oleh YBhg. Dato' Nor Sham Binti Rahman. Beliau berkelulusan L.L.B. (HONS) (UIA) dan D.P.A. (INTAN). Beliau memulakan perkhidmatan dalam kerajaan pada 15 September 1997 sebagai Penolong Pengarah, Unit Pengurusan Dan Profesional, Bahagian Perkhidmatan, Jabatan Perkhidmatan Awam.
Jawatan Setiausaha Kerajaan Negeri Perak disandang oleh YB Dato Ahmad Suaidi bin Abdul Rahim. Dilahirkan pada 11 Mac 1970 di Pantai Remis, Perak, beliau telah memulakan kerjayanya sebagai Pegawai Tadbir dan Diplomatik pada 15 Januari 1996 dan pernah berkhidmat sebagai Timbalan Setiausaha Kerajaan (Pembangunan) Negeri Selangor, Pengarah Pejabat Tanah dan Galian Negeri Selangor dan Pegawai Daerah di Hulu Selangor dan Gombak.