Persidangan Perundingan Wanita Perak 2025 Akan Bermula Pada 23 Februari.

Kerajaan Negeri Perak telah melantik pengerusi, timbalan pengerusi serta seramai 63 orang perwakilan yang terpilih.
IPOH, 24 Januari 2025 - Kerajaan Negeri Perak lancar penganjuran Persidangan Perundingan Wanita Perak 2025 bagi membincangkan isu-isu utama berkaitan wanita dan cadangan signifikan untuk dipertimbangkan oleh Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Perak.
YB Dato’ Salbiah binti Mohamed, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga, Kebajikan Masyarakat dan Pembangunan Usahawan Negeri mengumumkan perkara tersebut ketika menyempurnakan Sidang Media Pelancaran dan Penyerahan Watikah Ahli Perwakilan Persidangan Perundingan Wanita Perak 2025 di Bangunan Perak Darul Ridzuan.
“Kerajaan Negeri Perak kekal komited untuk memastikan suara wanita terus didengari dan dihargai. Penganjuran persidangan ini ialah bukti nyata usaha berterusan untuk memperkukuh peranan wanita sebagai pemimpin, penggerak ekonomi dan agen perubahan di negeri ini.
“Persidangan ini dijadualkan berlangsung pada 23 Februari 2025 untuk mencerminkan azam Kerajaan Negeri bagi membina masa depan yang lebih inklusif, harmoni dan langkah progresif dalam memperkasakan golongan wanita di Perak,” jelasnya.
Tambahnya lagi, Kerajaan Negeri Perak telah melantik pengerusi, timbalan pengerusi serta seramai 63 orang perwakilan yang terpilih.
“Pengerusi pertama ialah YB Puan Salina binti Samsudin, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Behrang merangkap ahli lembaga Perbadanan Perpustakaan Awam Negeri Perak.
“Manakala, timbalan pengerusi ialah YB Puan Thulsi Thivani a/p Manogaran, ADUN Buntong yang juga seorang peguam dan YB Puan Wong Chai Yi, ADUN Simpang Pulai.
“Persidangan ini merupakan kesinambungan daripada Program Wanita Inspirasi Negeri Perak (WINP) yang merangkumi modul pembangunan kepimpinan, pembentukan jati diri, kemahiran komunikasi yang melatih peserta dari pelbagai latar belakang agar mampu menjadi agen perubahan dan ikon dalam komuniti masing-masing,” ujarnya.
Hadir sama, Puan Nor Tipah binti Majin, Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat Negeri Perak; Puan Jamilah binti Zakaria, Pengarah Sekretariat Pembangunan Wanita dan Masyarakat Negeri Perak (Wanita Perak) dan Puan Kavaramma a/p Subramaniyam, Pengarah Pejabat Pembangunan Wanita Negeri Perak.
Sumber : Korporat, SUK Perak.