Sesi Libat Urus Cadangan Penggubalan Rang Undang-Undang Perolehan Kerajaan Bersama Kementerian Kewangan Malaysia.
YBhg. Dato’ Indera Ab Rahim bin Ab Rahman menyampaikan ucapan ketika sesi libat urus tersebut
IPOH, 27 Januari 2025 - YBhg. Dato’ Nor Sham binti Rahman, Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri (Pengurusan) mewakili YB Dato’ Ahmad Suaidi bin Abdul Rahim, Setiausaha Kerajaan Negeri Perak telah menghadiri Sesi Libat Urus Cadangan Penggubalan Rang Undang-undang Perolehan Kerajaan Bersama Bahagian Perolehan, Kementerian Kewangan Malaysia di Dewan Bankuet, Bangunan Perak Darul Ridzuan.
Sesi libat urus itu dimulai dengan ucapan oleh YBhg. Dato’ Indera Ab Rahim bin Ab Rahman, Setiausaha Bahagian, Bahagian Perolehan Kerajaan, Kementerian Kewangan Malaysia.
Menurutnya, sesi libat urus ini adalah penting untuk kita mendengar pandangan daripada Kerajaan Negeri Perak dan beliau amat mengalu-alukan sebarang maklum balas atau pertanyaan.
“YAB Perdana Menteri sering kali menitik beratkan mengenai pengurusan tata kelola terutama untuk menyegerakan pelaksanaan projek.
“Oleh itu, adalah penting untuk kita mengadakan sesi libat urus ini bersama Kerajaan Negeri Perak bagi mendengar pandangan atau maklum balas dalam proses kita membuat dasar kerajaan untuk memastikan proses kerja yang kita sediakan ini dapat diguna pakai dan pemudah cara kepada semua pihak berkaitan.
“Bukan itu sahaja, dalam pengurusan wang kerajaan, pengurusan perolehan ialah perkara asas yang perlu kita ketahui. Mula-mula kita masuk perkhidmatan, perolehan ialah perkara pertama yang kita lakukan. Jadi, perkara asas ini perlu diperkukuh,” jelasnya.
Seterusnya, sesi pembentangan yang telah disampaikan oleh Encik Mohd Hazizi bin Harun, Ketua Penolong Setiausaha, Pasukan Rang Undang-undang, Perolehan Kerajaan.
Diikuti sesi soal jawab bersama tiga orang panel iaitu YBhg. Dato’ Indera Ab Rahim bin Ab Rahman; Encik Kamal Azira bin Hassan, Peguam Cara Perbendaharaan, Bahagian Undang-undang, Kementerian Kewangan Malaysia dan Encik Haji Ahmad Fauzi bin Sungip, Ketua Seksyen Dasar Perolehan Kerajaan, Kementerian Kewangan Malaysia.
Hadir sama, YB Dato' Azmir Shah bin Zainal Abidin, Penasihat Undang-Undang Negeri Perak; YB Dato' Mohd Zaki bin Mahyudin, Pegawai Kewangan Negeri Perak dan Encik Megat Amirul Zaini Jamalulallail bin Megat Jamaludin, Bendahari Negeri Perak.
Sumber : Korporat, SUK Perak.

Jawatan Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri Perak (Pengurusan) disandang oleh YBhg. Dato' Nor Sham Binti Rahman. Beliau berkelulusan L.L.B. (HONS) (UIA) dan D.P.A. (INTAN). Beliau memulakan perkhidmatan dalam kerajaan pada 15 September 1997 sebagai Penolong Pengarah, Unit Pengurusan Dan Profesional, Bahagian Perkhidmatan, Jabatan Perkhidmatan Awam.
Jawatan Setiausaha Kerajaan Negeri Perak disandang oleh YB Dato Ahmad Suaidi bin Abdul Rahim. Dilahirkan pada 11 Mac 1970 di Pantai Remis, Perak, beliau telah memulakan kerjayanya sebagai Pegawai Tadbir dan Diplomatik pada 15 Januari 1996 dan pernah berkhidmat sebagai Timbalan Setiausaha Kerajaan (Pembangunan) Negeri Selangor, Pengarah Pejabat Tanah dan Galian Negeri Selangor dan Pegawai Daerah di Hulu Selangor dan Gombak.