Malaysia Jalin Hubungan Baik Dengan Semua Negara
YAB Dato' Seri Anwar bin Ibrahim mengakhiri lawatan di SJK(C) Chong Hwa Kanthan Baru.
IPOH, 31 Januari 2025 - Malaysia mengambil pendekatan untuk menjalin hubungan baik dengan semua negara tanpa menyebelahi mana-mana pihak atau kuasa besar.
YAB Dato' Seri Anwar bin Ibrahim, Perdana Menteri berkata demikian ketika menghadiri Majlis Rumah Terbuka Tahun Baharu Cina Dewan Perniagaan dan Industri Cina Negeri Perak (PCCCI) di Hotel Weil, di sini.
“Mulai minggu depan kita akan terima kunjungan pembesar-pembesar dunia sampai terpaksa kita atur supaya jangan terlalu banyak pada satu masa. Kita akan terima Perdana Menteri Presiden Indonesia.
“Dua hari lagi, Dr. Thaksin Shinawatra, seorang mantan Perdana Menteri Thailand yang saya minta jadi penasihat bersama pasukan saya selaku Pengerusi ASEAN.
“Lepas itu, kita ada lawatan daripada Presiden Uzbekistan kalau tak silap saya, lepas itu Presiden Turkiye akan ke Malaysia pada bulan Februari.
“Sebab, kita perlukan kawan sekarang. Dulu kita memihak belah sana belah sini, sekarang kita teruskan minta pelaburan daripada Amerika Syarikat. Kita baiki hubungan kita dengan European Union, kumpulan BRICS merangkumi Brazil, Rusia, India, China, dan Afrika Selatan serta beberapa buah negara lain.
“Bagi kita, siapa pun termasuk negara China yang datang melabur kita berikan galakkan. Yang baik dengan kita, kita lebih baik dengan mereka.
“Ini dasar kita dan sebab itu saya nak tekankan dalam perayaan Hari Raya Cina, kita akan teruskan program kita untuk buka jaringan,” jelasnya.
Hadir sama, YAB Dato’ Seri Saarani bin Mohamad, Menteri Besar Perak; YB Senator Dato' Seri Diraja Dr. Zambry bin Abdul Kadir, Menteri Pendidikan Tinggi; YB Encik Nga Kor Ming, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan; YB Encik Chang Lih Kang, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi; YB Dato' Mohammad Zahir bin Dato’ Abdul Khalid, Yang di-Pertua Dewan Negeri Perak; YB Dato’ Ahmad Suaidi bin Abdul Rahim, Setiausaha Kerajaan Negeri Perak; YB Dato' Mohd Zaki bin Mahyudin, Pegawai Kewangan Negeri Perak; YB Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Perak serta YBhg. Dato’ Liew Chee Ming, Presiden PCCCI.
Setelah itu, YAB Dato' Seri Anwar bin Ibrahim diiringi YAB Dato’ Seri Saarani bin Mohamad; YB Senator Dato' Seri Diraja Dr. Zambry bin Abdul Kadir; YB Dato' Mohammad Zahir bin Dato’ Abdul Khalid dan YB Dato’ Ahmad Suaidi bin Abdul Rahim meluangkan masa untuk menunaikan solat Jumaat bersama jemaah ketika Majlis Kenduri Rakyat di Masjid Al-Muttaqin, Taman Meru, di sini.
Kemudiannya, beliau meninjau Projek Pembetungan Kinta Barat, Papan di Lengkok Sri Cempaka, Taman Cempaka.
Turut hadir, YAB Dato' Sri Haji Fadillah bin Haji Yusof, Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air; YBhg. Dato' Haji Mad Zaidi bin Mohd Karli, Ketua Setiausaha Kementerian Peralihan Tenaga dan Daya Guna Awam; YBrs. Ir. Ts. Haji Wan Abd Rahim bin Wan Abdullah, Ketua Pengarah Jabatan Perkhidmatan Pembetungan (JPP) dan Encik Zulhisham bin Ahmad Shukori, Pegawai Daerah Kinta.
Menurut YAB Dato' Sri Haji Fadillah bin Haji Yusof, projek bernilai RM2.02 bilion ini merangkumi pembinaan rangkaian paip pembetungan moden sepanjang 88 kilometer menggantikan sembilan buah stesen pam baharu serta penutupan 149 loji rawatan kumbahan yang lama dan tidak efisien.
Tambahnya lagi, projek ini mempunyai tiga pakej pembangunan dan dua daripadanya telah disiapkan. Manakala, pakej ketiga telah siap 88 peratus. Ia akan disiapkan sepenuhnya setelah beberapa isu tanah diselesaikan.
Projek ini akan memberi manfaat kepada lebih 250,000 orang penduduk dan menampung kapasiti sehingga 500,000 orang penduduk menjelang tahun 2045.
Mengakhiri lawatan YAB Dato' Seri Anwar bin Ibrahim hari ini ialah Majlis Jamuan Teh Tahun Baharu Cina bersama Rakyat di SJK(C) Chong Hwa Kanthan Baru.
Sumber : Korporat, SUK Perak.

Jawatan Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri Perak (Pengurusan) disandang oleh YBhg. Dato' Nor Sham Binti Rahman. Beliau berkelulusan L.L.B. (HONS) (UIA) dan D.P.A. (INTAN). Beliau memulakan perkhidmatan dalam kerajaan pada 15 September 1997 sebagai Penolong Pengarah, Unit Pengurusan Dan Profesional, Bahagian Perkhidmatan, Jabatan Perkhidmatan Awam.
Jawatan Setiausaha Kerajaan Negeri Perak disandang oleh YB Dato Ahmad Suaidi bin Abdul Rahim. Dilahirkan pada 11 Mac 1970 di Pantai Remis, Perak, beliau telah memulakan kerjayanya sebagai Pegawai Tadbir dan Diplomatik pada 15 Januari 1996 dan pernah berkhidmat sebagai Timbalan Setiausaha Kerajaan (Pembangunan) Negeri Selangor, Pengarah Pejabat Tanah dan Galian Negeri Selangor dan Pegawai Daerah di Hulu Selangor dan Gombak.