Skip to main content

DYMM Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan Berkenan Merasmikan Menara HASiL LHDN Teluk Intan.

DYMM Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan ketika lafaz perasmian Menara HASil, LHDN Teluk Intan

TELUK INTAN, 18 Februari 2025 – DYMM Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah ibni Almarhum Sultan Azlan Muhibbuddin Shah Al-Maghfur-Lah berkenan berangkat merasmikan Menara HASiL, Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), di sini.

Turut berkenan berangkat, DYTM Raja Muda Perak Darul Ridzuan, Raja Jaafar Ibni Almarhum Raja Muda Musa dan DYAM Raja DiHilir Perak Darul Ridzuan, Raja Iskandar Dzurkarnain Ibni Almarhum Sultan Idris A’fifullah Shah.

Keberangkatan tiba baginda telah disambut oleh YAB Dato' Seri Saarani bin Mohamad, Menteri Besar Perak, dan YB Puan Lim Hui Ying, Timbalan Menteri Kewangan.

Hadir sama, YB Dato' Mohammad Zahir bin Dato' Abdul Khalid, Yang di-Pertua Dewan Negeri Perak; YB Dato' Ahmad Suaidi bin Abdul Rahim, Setiausaha Kerajaan Negeri Perak; YBhg. Dato' Seri DiRaja Tan Sri Haji Ramli bin Ngah Talib, Orang Kaya Kaya Seri Agar DiRaja; YB Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Perak; Orang Besar-Besar Negeri Perak; YBhg. Datuk Johan Mahmood Merican, Ketua Setiausaha Perbendaharaan; YBhg. Datuk Dr. Abu Tariq bin Jamaluddin, Ketua Pegawai Eksekutif LHDN; YBrs. Encik Badri bin Basiran@Basir, Pengarah LHDN Negeri Perak, serta ketua-ketua jabatan negeri dan persekutuan.

Majlis dimulakan dengan nyanyian Lagu Kebesaran Negeri Perak, diikuti dengan bacaan ayat suci Al-Quran, sebelum baginda menyempurnakan lafaz perasmian dan menandatangani plak sebagai simbolik perasmian Menara HASiL.

Seterusnya, baginda berkenan mengunjungi pameran yang disediakan, diikuti dengan majlis santapan dan sesi lawatan ke Menara HASiL, sebelum berangkat pulang.

Terdahulu, YBhg. Datuk Dr. Abu Tariq bin Jamaluddin, dalam sembah ucapannya, berkata bangunan yang tersergam indah ini memiliki tiga aras dengan pelbagai kemudahan, termasuk dewan serbaguna, bilik mesyuarat, kafeteria, dan tentunya ruang kerja pegawai yang lebih luas dan selesa.

“Kaunter percukaian dengan reka bentuk moden kontemporari juga disediakan untuk memudahkan urusan percukaian komuniti di negeri Perak, khususnya sekitar Teluk Intan.

“Bukan itu sahaja, pemilikan sebuah bangunan yang penuh dengan kemudahan ini menawarkan ruang urusan yang lebih selesa dan kondusif kepada golongan rentan dan kurang kemampuan di bawah program Bantuan Khas Kerajaan seperti Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) yang dikendalikan oleh HASiL,” katanya.

Menambah dimensi penting, Kerajaan Negeri Perak telah mencatat pencapaian cemerlang dengan kutipan hasil tertinggi dalam sejarah, iaitu RM1.322 bilion pada 2024.

Selain itu, negeri Perak turut menerima pengiktirafan Sijil Ketua Audit Negara Tanpa Teguran bagi Penyata Kewangan Negeri 2023, sekali gus mengukuhkan kedudukan antara lima negeri terbaik dalam aspek tadbir urus kewangan.

FaLang translation system by Faboba
  • Hakmilik © 2020 Kerajaan Negeri Perak. Kemaskini Terakhir : Khamis 27 November 2025, 04:19:41.
Paparan Terbaik: 1600 x 900 Piksel melalui Mozilla Firefox dengan resolusi SUSUN ATUR RESPONSIF.