Skip to main content

"Tingkatkan Keharmonian Agar Kejayaan Dicapai Bersama" - YB SUK.

YB Dato' Ahmad Suaidi bin Abdul Rahim menyeru kepada semua bahagia di PSUK Perak untuk memelihara dan meningkatkan keharmonian antara satu sama lain.

IPOH, 28 Februari 2025 – Keharmonian antara setiap bahagian dalam organisasi bukan sahaja merupakan elemen penting, tetapi juga asas yang kukuh dalam memastikan kejayaan bersama dapat dicapai.

YB Dato’ Ahmad Suaidi bin Abdul Rahim, Setiausaha Kerajaan Negeri Perak, berkata bagi mencapai matlamat yang diinginkan, setiap bahagian di Pejabat Setiausaha Kerajaan (PSUK) Negeri Perak perlu memelihara dan meningkatkan keharmonian antara satu sama lain.

“Hal ini kerana, apabila kita saling membantu dan memahami tanggungjawab serta peranan masing-masing, ia akan memudahkan pelaksanaan tugas dengan lebih berkesan dan proaktif.

“Pemikiran seperti 'ini bukan tugas saya' atau 'saya tidak perlu ambil tahu tugasan bahagian lain' perlu dibuang jauh-jauh, kerana setiap individu perlu menyedari bahawa perubahan, pembaharuan, dan kejayaan hanya dapat dicapai dengan komitmen penuh daripada setiap anggota dalam organisasi,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perjumpaan YB Setiausaha Kerajaan Negeri Perak Bersama Warga Pejabat Setiausaha Kerajaan (PSUK) Negeri Perak Darul Ridzuan Tahun 2025.

Hadir sama, YB Dato’ Azmir Shah bin Zainal Abidin, Penasihat Undang-Undang Negeri Perak; YB Dato’ Mohd Zaki bin Mahyudin, Pegawai Kewangan Negeri Perak; YBhg. Dato’ Nor Sham binti Rahman, Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri Perak (Pengurusan); YBrs. Puan Haslinda binti Alias, Timbalan Pengarah Kanan, Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN), serta ketua-ketua jabatan Pejabat Setiausaha Kerajaan (PSUK) Negeri Perak.

Ujar YB Dato' Ahmad Suaidi bin Abdul Rahim lagi, selain menekankan kepentingan keharmonian, beliau turut menyeru warga pejabat untuk menjaga tingkah laku, integriti, dan imej sebagai penjawat awam kerana mereka berperanan sebagai duta yang mewakili organisasi atau jabatan masing-masing.

“Setiap tindakan, percakapan, dan tingkah laku kita sebagai penjawat awam mencerminkan nilai-nilai murni, etika yang tinggi, serta tahap profesionalisme yang menjadi asas utama dalam perkhidmatan awam.

“Oleh itu, kita harus sentiasa menunjukkan sikap yang beretika, berdisiplin, dan bertanggungjawab, sama ada di tempat kerja mahupun dalam kehidupan seharian, agar kepercayaan masyarakat terhadap institusi kerajaan terus terpelihara,” ujarnya.

Terdahulu, YB Dato’ Ahmad Suaidi bin Abdul Rahim berkesempatan menghadiri majlis bacaan Yassin dan doa selamat yang diadakan bersama warga bangunan sempena menyambut bulan Ramadan.

FaLang translation system by Faboba
  • Hakmilik © 2020 Kerajaan Negeri Perak. Kemaskini Terakhir : Isnin 23 Jun 2025, 09:05:57.
Paparan Terbaik: 1600 x 900 Piksel melalui Mozilla Firefox dengan resolusi SUSUN ATUR RESPONSIF.