DYMM Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan Berkenan Berangkat Ke Majlis Berbuka Puasa Dan Perasmian Masjid Tuminah Hamidi.
Keberangkatan tiba baginda disambut oleh YAB Dato' Seri Diraja Dr. Ahmad Zahid bin Hamidi
BAGAN DATUK, 10 Mac 2025- DYMM Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah Ibni Almarhum Sultan Azlan Muhibbuddin Shah Al-Maghfur-Lah berkenan bercemar duli berangkat ke Majlis Perasmian Masjid Tuminah Hamidi dan berbuka puasa bersama rakyat Bagan Datuk sempena bulan Ramadan Tahun 1446H/2025M, di sini.
Turut sama berangkat, YTM Raja Kecil Sulong Perak Darul Ridzuan, Raja Dato’ Seri Ahmad Nazim Azlan Shah bin Raja Ashman Shah.
Keberangkatan tiba baginda pada jam 7.00 malam telah disambut oleh YAB Dato' Seri Diraja Dr. Ahmad Zahid bin Hamidi, Timbalan Perdana Menteri; YAB Dato' Seri Saarani bin Mohamad, Menteri Besar Perak; YABhg. Jen. Dato’ Seri DiRaja Tan Sri (Dr.) Mohd. Zahidi bin Haji Zainuddin (Bersara), Orang Kaya Bendahara Seri Maharaja; YB Dato' Mohammad Zahir bin Dato' Abdul Khalid, Yang di-Pertua Dewan Negeri Perak; YB Senator Dato' Seri Diraja Dr. Zambry bin Abdul Kadir, Menteri Pendidikan Tinggi dan YB Dato' Ahmad Suaidi bin Abdul Rahim, Setiausaha Kerajaan Negeri.
Hadir sama, YB Dato' Azmir Shah bin Zainal Abidin, Penasihat Undang-Undang Negeri Perak; YB Dato’ Mohd Zaki bin Mahyudin, Pegawai Kewangan Negeri Perak; YB Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Perak; YBhg. Datuk Wira Dr. Asyraf Wajdi bin Dato’ Dusuki, Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (MARA); YBhg. Dato' Harith Fadzilah bin Abdul Halim, Pengarah Jabatan Agama Islam Negeri Perak (JAIPk) serta ketua-ketua jabatan persekutuan dan negeri.
Di majlis berkenaan baginda berkenan menanam pokok Bunga Tanjung atau Mimusops Elengi dan seterusnya membuka tirai plak sebagai simbolik perasmian masjid tersebut.
Baginda turut berkenan berbuka puasa bersama lebih 2,500 orang jemaah dan menunaikan solat Maghrib sebelum berkenan berangkat ke majlis santapan diikuti dengan solat Isyak, solat Terawih dan jamuan moreh.
Masjid Tuminah Hamidi mula dibina pada tahun 2017 dan selesai pada tahun 2023 membabitkan kos pembinaan RM53 juta dan mampu menampung seramai 5,000 orang jemaah pada satu-satu masa.
Ia dinamakan sempena nama ibu bapa YAB Dato' Seri Diraja Ahmad Zahid bin Hamidi iaitu Almarhum Raden Hamidi Abdul Fatah dan Almarhumah Tuminah Abdul Jalil.
Masjid berkeluasan 8,870 meter persegi itu dilengkapi dengan dataran terbuka, dewan serbaguna, bilik pameran serta bilik persidangan dua tingkat.
Sumber : Korporat, SUK Perak.

Jawatan Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri Perak (Pengurusan) disandang oleh YBhg. Dato' Nor Sham Binti Rahman. Beliau berkelulusan L.L.B. (HONS) (UIA) dan D.P.A. (INTAN). Beliau memulakan perkhidmatan dalam kerajaan pada 15 September 1997 sebagai Penolong Pengarah, Unit Pengurusan Dan Profesional, Bahagian Perkhidmatan, Jabatan Perkhidmatan Awam.
Jawatan Setiausaha Kerajaan Negeri Perak disandang oleh YB Dato Ahmad Suaidi bin Abdul Rahim. Dilahirkan pada 11 Mac 1970 di Pantai Remis, Perak, beliau telah memulakan kerjayanya sebagai Pegawai Tadbir dan Diplomatik pada 15 Januari 1996 dan pernah berkhidmat sebagai Timbalan Setiausaha Kerajaan (Pembangunan) Negeri Selangor, Pengarah Pejabat Tanah dan Galian Negeri Selangor dan Pegawai Daerah di Hulu Selangor dan Gombak.