Skip to main content

Kerajaan Negeri Perak Agih 436 Ekor Lembu Korban Sempena Aidiladha.

Kerajaan Negeri Perak meneruskan tradisi tahunan Aidiladha dengan mengagihkan 436 ekor lembu korban ke 59 kawasan DUN

IPOH, 22 Mei 2025 – Kerajaan Negeri Perak meneruskan tradisi tahunan Aidiladha dengan mengagihkan 436 ekor lembu korban ke 59 kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) sempena sambutan Hari Raya Aidiladha 1446H, yang dijangka akan disambut pada 7 Jun 2025.

Menurut kenyataan yang dimuat naik di laman rasmi Facebook beliau, YAB Dato' Seri Saarani bin Mohamad, Menteri Besar Perak, memaklumkan sumbangan ini merupakan hasil komitmen dan tanggungjawab sosial korporat (CSR) syarikat-syarikat milik kerajaan negeri (GLC), khususnya Perbadanan Pembangunan Pertanian Negeri (SADC) Perak, Perbadanan Menteri Besar (MB Inc.), Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNPk), Lembaga Air Perak (LAP) serta Perbadanan Setiausaha Kerajaan Negeri Perak (SSI).

“Setiap kawasan DUN akan menerima sekurang-kurangnya enam ekor lembu korban bagi memastikan agihan yang adil dan menyeluruh kepada masyarakat. Agihan ini turut melibatkan masjid dan surau, pasukan keselamatan, persatuan-persatuan serta badan-badan bukan kerajaan (NGO) terpilih di seluruh negeri.

“Seperti tahun-tahun sebelumnya, pelaksanaan ibadah korban akan melibatkan lafaz akad korban oleh ADUN berkenaan atau wakilnya.

"Bagi kawasan DUN yang diwakili Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) beragama Islam, akad akan disempurnakan oleh ADUN terbabit atau wakilnya. Manakala di kawasan yang diwakili ADUN bukan Islam, Pegawai Tadbir Agama (PTA) Daerah akan melaksanakan proses akad mengikut garis panduan yang ditetapkan,” ujar beliau.

Tambahnya lagi, bagi memastikan pelaksanaan ibadah korban selari dengan kehendak syarak, Jabatan Mufti Negeri Perak akan mengedarkan garis panduan pelaksanaan khusus kepada semua pihak terlibat, terutama berkaitan aspek wakalah atau kontrak pelantikan wakil.

“Selain itu, proses sembelihan dan pengagihan korban akan dilaksanakan berpandukan garis panduan yang ditetapkan oleh Jabatan Agama Islam Negeri Perak serta Jabatan Perkhidmatan Veterinar demi memastikan pematuhan terhadap hukum syarak serta aspek keselamatan dan kesihatan awam,” katanya.

Terdahulu, YAB Dato' Seri Saarani bin Mohamad telah mewakili Kerajaan Negeri Perak dalam melafazkan akad penerimaan lembu-lembu korban tersebut dalam satu sesi yang diadakan di Hotel Casuarina@Meru, di sini.

Hadir sama, YB Dato' Ahmad Suaidi bin Abdul Rahim, Setiausaha Kerajaan Negeri Perak; YB Dato’ Mohd Zaki bin Mahyuddin, Pegawai Kewangan Negeri Perak; YB Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Perak dan ketua-ketua jabatan GLC.

FaLang translation system by Faboba
  • Hakmilik © 2020 Kerajaan Negeri Perak. Kemaskini Terakhir : Khamis 27 November 2025, 04:19:41.
Paparan Terbaik: 1600 x 900 Piksel melalui Mozilla Firefox dengan resolusi SUSUN ATUR RESPONSIF.