Skip to main content

Program Mesra Hari Bertemu Pelanggan Kerajaan Negeri Perak Siri 5 Tahun 2025.

Pada hari ini, sebanyak 103 aduan telah diterima meliputi pelbagai isu dan permasalahan yang dihadapi oleh rakyat.

IPOH, 21 Julai 2025 - Kerajaan Negeri Perak komited meneruskan Program Mesra Hari Bertemu Pelanggan Kerajaan Negeri Perak sebagai platform tetap untuk rakyat menyuarakan masalah atau pandangan kepada pemimpin dan jabatan kerajaan.

YAB Dato' Seri Saarani bin Mohamad, Menteri Besar Perak berkata demikian ketika sesi sidang akhbar sempena Program Mesra Hari Bertemu Pelanggan Kerajaan Negeri Perak Siri 5/2025 di Stadium Indera Mulia, di sini.

“Hari Bertemu Pelanggan ini kita buat secara tetap kerana kita faham kadang-kadang rakyat ada temujanji, tetapi pemimpin negeri tidak dapat hadir kerana urusan lain seperti mesyuarat di Putrajaya atau Kuala Lumpur.

“Dengan adanya program ini, rakyat tahu mereka boleh datang bukan sahaja berjumpa terus dengan saya, tetapi pihak lain juga termasuk kalangan ketua-ketua jabatan dan agensi-agensi seperti PKNPk (Perbadanan Pembangunan Pertanian Negeri Perak), MB Inc (Perbadanan Menteri Besar Perak), SSI (Perbadanan Setiausaha Kerajaan Negeri Perak) dan sebagainya," jelas beliau.

Menurutnya, program kali ini menghimpunkan 96 kaunter perkhidmatan pelanggan, 6 kaunter bergerak serta 11 pameran daripada pelbagai jabatan dan agensi kerajaan.

"Pada hari ini, sebanyak 103 aduan telah diterima meliputi pelbagai isu dan permasalahan yang dihadapi oleh rakyat. Sehingga pelaksanaan siri keempat sebelum ini, sejumlah 441 aduan telah direkodkan dengan 391 (89%) daripadanya berjaya diselesaikan, manakala baki 50 (11%) aduan masih dalam proses tindakan lanjut.

“Sempena sambutan Hari Pahlawan, pameran turut menampilkan sebahagian pasukan barisan hadapan antaranya VAT 69, FRU, Bomba dan Skuad Amanita PDRM,” ujarnya.

Hadir sama, YB Dato' Ahmad Suaidi bin Abdul Rahim, Setiausaha Kerajaan Negeri Perak; YB Dato' Azmir Shah bin Zainal Abidin, Penasihat Undang-Undang Negeri Perak; Dato’ Mohd Zaki bin Mahyudin; YB Pegawai Kewangan Negeri Perak serta YB Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Perak.

Dalam program yang sama, YAB Dato' Seri Saarani bin Mohamad telah menyempurnakan penyampaian insentif kepada 10 orang wakil pesara Kerajaan Negeri Perak bagi tahun 2024 sebagai simbolik penghargaan kepada keseluruhan 399 pesara yang bersara dalam tempoh 1 Januari hingga 31 Disember 2024.

Setiap pesara layak menerima insentif berbentuk Sijil Simpanan Premium (SPP), melibatkan jumlah keseluruhan sebanyak RM1,650,200.

Kriteria ditetapkan bagi pemberian insentif ini adalah pesara kumpulan pengurusan dan professional yang telah berkhidmat 15 tahun dan lebih serta pesara kumpulan pelaksana yang telah berkhidmat 20 tahun dan lebih.

Perkhidmatan dikira secara terkumpul dalam Perkhidmatan Awam Negeri Perak dan perlu berusia 50 tahun ke atas.

Selain itu, kerajaan negeri turut menyampaikan cenderamata persaraan sebanyak RM600 seorang kepada semua pesara termasuk pesara yang tidak layak menerima insentif kerana tempoh berkhidmat dalam Perkhidmatan Awam Negeri Perak kurang daripada kriteria yang telah ditetapkan.

Dua kategori penerima tersebut adalah pesara yang layak menerima insentif dan cenderamata persaraan berjumlah RM4,600 dan pesara yang tidak layak akan menerima cenderamata persaraan berjumlah RM600.

Inisiatif ini mencerminkan keprihatinan Kerajaan Negeri Perak terhadap kebajikan penjawat awam yang telah menabur bakti sepanjang perkhidmatan mereka.

FaLang translation system by Faboba
  • Hakmilik © 2020 Kerajaan Negeri Perak. Kemaskini Terakhir : Khamis 27 November 2025, 04:19:41.
Paparan Terbaik: 1600 x 900 Piksel melalui Mozilla Firefox dengan resolusi SUSUN ATUR RESPONSIF.