Skip to main content

Kursus CDLI Siri 4/2025 Perkukuh Integriti Dan Kepimpinan Ahli Badan Berkanun Negeri Dan Syarikat Berkaitan Kerajaan.

Seramai 26 orang peserta terdiri daripada pegawai gred M10 hingga M13 telah menyertai kursus ini.

KUALA LUMPUR, 24 Julai 2025 – Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Perak dengan kerjasama Institut Tadbiran Awam Negara (INTAN) telah menganjurkan Kursus Corporate Directors Leadership and Integrity (CDLI) Siri 4/2025 yang berlangsung selama empat hari bermula 21 hingga 24 Julai 2025 di Hotel Dorsett, Kuala Lumpur.

Program ini dirasmikan oleh YBrs. Dr. Peter Brian M Wang Chee Keong, Timbalan Ketua Pusat, Sub Pusat Pengajian Ekonomi, Pusat Pengajian Ekonomi dan Kewangan Awam (PEKA), INTAN, yang turut menyempurnakan majlis penutup bersama YBrs. Encik Mohd Azraie bin Harun, Setiausaha Bahagian Pengurusan Sumber Manusia, Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Perak.

Seramai 26 orang peserta terdiri daripada pegawai gred M10 hingga M13 di bawah pentadbiran Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Perak, jabatan negeri serta Pejabat Daerah dan Tanah telah menyertai kursus ini.

Kursus ini bertujuan meningkatkan pemahaman pegawai tentang peranan mereka sebagai Ahli Lembaga Pengarah yang mewakili kerajaan dalam memastikan kepentingan negeri terhadap Badan Berkanun Negeri dan Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC) sentiasa terpelihara.

Selain itu, ia turut memberi pendedahan kepada pegawai mengenai tadbir urus korporat, perkembangan semasa sektor korporat, serta dasar dan peraturan kerajaan yang relevan.

Kerjasama yang bermula sejak tahun 2022 telah menjadi platform penting bagi memperkukuh kompetensi penjawat awam agar mampu memainkan peranan strategik dalam syarikat berkaitan kerajaan. Penekanan khusus diberikan kepada aspek kepimpinan berintegriti, pengurusan beretika, serta pengambilan keputusan yang telus dan berkesan.

Kursus ini juga menyasarkan untuk melahirkan pegawai yang bukan sahaja memahami kepentingan kerajaan dalam GLC, malah berupaya menyumbang secara signifikan kepada pencapaian matlamat syarikat melalui pelaksanaan tadbir urus korporat yang berlandaskan integriti, akauntabiliti, dan nilai profesionalisme yang tinggi.

Penganjuran kursus ini mencerminkan komitmen Kerajaan Negeri Perak untuk memastikan penjawat awam yang dilantik sebagai Ketua Pegawai Eksekutif atau Ahli Lembaga Pengarah mempunyai kemahiran, pengetahuan, dan nilai integriti dalam melaksanakan tanggungjawab mereka, seiring dengan matlamat Perak Sejahtera 2030.

FaLang translation system by Faboba
  • Hakmilik © 2020 Kerajaan Negeri Perak. Kemaskini Terakhir : Khamis 27 November 2025, 04:19:41.
Paparan Terbaik: 1600 x 900 Piksel melalui Mozilla Firefox dengan resolusi SUSUN ATUR RESPONSIF.