DYMM Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan Berkenan Berangkat Melawat Stesen Janakuasa Sultan Azlan Shah, Bersia.
Ketibaan YB Dato’ Ahmad Suaidi bin Abdul Rahim disambut oleh para tetamu.
GERIK, 17 Ogos 2025 – DYMM Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah Ibni Almarhum Sultan Azlan Muhibbuddin Shah Al-Maghfur-Lah selaku Kolonel Yang di-Pertua Rejimen Askar Jurutera Diraja (RAJD) berkenan bercemar duli berangkat melawat Stesen Janakuasa Sultan Azlan Shah, Bersia, bagi menyaksikan demonstrasi kesiapsiagaan Rejimen 70 Pakar Janaelektrik RAJD, di sini.
Keberangkatan baginda merupakan manifestasi keprihatinan terhadap usaha serta peranan yang digalas oleh Rejimen 70 dalam memastikan kesiapsiagaan tenaga elektrik negara, khususnya ketika berdepan krisis dan bencana alam.
Dalam persembahan demonstrasi tersebut, anggota Rejimen 70 melaksanakan simulasi pengambilalihan operasi stesen janakuasa akibat gangguan aliran sungai yang terhalang susulan kejadian tanah runtuh.
Hadir sama, YAB Dato' Seri Saarani bin Mohamad, Menteri Besar Perak; YABhg. Orang Kaya Bendahara Seri Maharaja, Jen. Dato’ Seri DiRaja Tan Sri (Dr.) Mohd. Zahidi bin Haji Zainuddin (Bersara); YB Dato’ Ahmad Suaidi bin Abdul Rahim, Setiausaha Kerajaan Negeri Perak; YABhg .Jeneral Tan Sri Dato’ Seri Panglima Mohd. Azumi bin Mohamed (Bersara), Ahli Dewan Negara; Mejar Jeneral Dato' Mohammad Razeif bin Che Ahmad, Asisten Panglima Pasukan Simpanan; Mejar Jeneral Dato’ Khairul Azmizal bin Ahmad Natal, Panglima 4 Divisyen; Brigedier Jeneral Mohd Rosli bin Abu Bakar, Panglima 2 Briged; YBhg. Datuk Ir Megat Jalaluddin bin Megat Hassan, Kolonel Kehormat (K) 70 RAJD Pakar (AW); Lt Kol Dato' Ir. Muhamad Nazri bin Pazil, Pegawai Pemerintah 70 Rejimen Pakar Janaelektrik RAJD (AW) serta YBhg. Datuk Redza Rafiq bin Abdul Razak, Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNPk).
YBhg. Datuk Ir Megat Jalaluddin bin Megat Hassan memaklumkan penubuhan Rejimen 70 adalah bagi membangunkan keupayaan (capability building) dalam mendorong kesinambungan tenaga elektrik negara, terutama pada waktu krisis.
Tambahnya, walaupun Tenaga Nasional Berhad (TNB) menggalas tanggungjawab utama pembekalan elektrik negara tetapi sokongan daripada Rejimen 70 tetap berperanan penting, khususnya ketika berlakunya kecemasan.
Pada masa yang sama, beliau turut menegaskan kepentingan kerjasama strategik antara jurutera TNB, syarikat-syarikat pembekalan elektrik dan Rejimen 70 bagi memastikan bekalan tenaga elektrik negara sentiasa berada pada tahap terbaik.
Sumber : Korporat, SUK Perak.

Jawatan Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri Perak (Pengurusan) disandang oleh YBhg. Dato' Nor Sham Binti Rahman. Beliau berkelulusan L.L.B. (HONS) (UIA) dan D.P.A. (INTAN). Beliau memulakan perkhidmatan dalam kerajaan pada 15 September 1997 sebagai Penolong Pengarah, Unit Pengurusan Dan Profesional, Bahagian Perkhidmatan, Jabatan Perkhidmatan Awam.
Jawatan Setiausaha Kerajaan Negeri Perak disandang oleh YB Dato Ahmad Suaidi bin Abdul Rahim. Dilahirkan pada 11 Mac 1970 di Pantai Remis, Perak, beliau telah memulakan kerjayanya sebagai Pegawai Tadbir dan Diplomatik pada 15 Januari 1996 dan pernah berkhidmat sebagai Timbalan Setiausaha Kerajaan (Pembangunan) Negeri Selangor, Pengarah Pejabat Tanah dan Galian Negeri Selangor dan Pegawai Daerah di Hulu Selangor dan Gombak.