Perak Tuan Rumah Kejohanan Golf Tunku Canselor UM–NUS, Eratkan Hubungan Perak–Singapura.
Baginda berkenan menyampaikan piala kejohanan kepada juara keseluruhan edisi ke-54 iaitu UM
IPOH, 26 Ogos 2025– Selepas lebih sedekad, Kejohanan Golf Tunku Canselor Universiti Malaya (UM) – National University of Singapore (NUS) kembali dianjurkan di Perak, mengekalkan tradisi persahabatan dan semangat kesukanan yang telah terjalin lebih lima dekad antara kedua-dua universiti terkemuka itu.
DYMM Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah Ibni Almarhum Sultan Azlan Muhibbuddin Shah Al-Maghfur-Lah, selaku Canselor UM, berkenan menyampaikan piala kejohanan kepada juara keseluruhan edisi ke-54 iaitu UM.
Baginda turut diiringi oleh TYT Tharman Shanmugaratnam, Presiden Republik Singapura selaku Canselor NUS.
Majlis Penyampaian Hadiah Kejohanan Golf UM–NUS Piala Tunku Canselor kali ke-54 itu telah berlangsung di Royal Perak Golf Club (RPGC).
Hadir sama, TYT Vanu Gopala Menon, Pesuruhjaya Tinggi Singapura ke Malaysia; YBhg. Profesor Dato' Seri Ir. Dr. Noor Azuan Abu Osman, Naib Canselor UM; YBrs. Professor Tan Eng Chye, Presiden NUS; YABhg. Tan Sri Dato’ Seri Mohd. Annuar bin Zaini, Ahli Dewan Negara Negeri Perak serta wakil-wakil UM dan NUS.
YBhg. Profesor Dato’ Seri Ir. Dr. Noor Azuan Abu Osman, berkata kejohanan golf yang menghimpunkan 54 pemain dari UM dan 54 pemain dari NUS itu bukan sekadar acara sukan tahunan, tetapi simbol persaudaraan lebih lima dekad.
Menurutnya, semangat setia kawan dan kerjasama yang ditonjolkan sepanjang kejohanan ialah lambang hubungan kukuh kedua-dua institusi sejak penubuhannya.
Dimensi sejarah terserlah apabila ayahanda baginda, Almarhum Sultan Azlan Muhibbuddin Shah Al-Maghfur-Lah Ibni Almarhum Sultan Yussuff Izzuddin Shah Ghafarullahu-lah berkenan menyandang jawatan Canselor UM dari tahun 1986 hingga 2014. Baginda seterusnya berkenan meneruskan legasi sebagai Canselor UM.
Seiring dengan penganjuran golf, UM dan NUS turut mengadakan UM–NUS Joint Academic Symposium 2025 bertemakan Precision Health di RPGC.
Simposium tersebut menghimpunkan pakar perubatan dan penyelidik dari kedua-dua universiti bagi membincangkan perkembangan terkini dalam bidang penemuan ubat, biomarker genetik, aplikasi kecerdasan buatan dalam klinikal serta amalan perubatan presisi.
Simposium merangkumi 10 syarahan utama dan ceramah teknikal oleh pakar UM dan NUS, antaranya Prof. Dr. Lim Lee-Ling dari UM yang membincangkan penggunaan data dalam menangani diabetes serta Prof. Dr. Tai E. Shyong dari NUS yang mengulas aplikasi perubatan presisi melalui Program Perubatan Presisi Kebangsaan Singapura. Selain itu, turut diadakan pameran penyelidikan oleh para pelajar.
Sumber : Korporat, SUK Perak.

Jawatan Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri Perak (Pengurusan) disandang oleh YBhg. Dato' Nor Sham Binti Rahman. Beliau berkelulusan L.L.B. (HONS) (UIA) dan D.P.A. (INTAN). Beliau memulakan perkhidmatan dalam kerajaan pada 15 September 1997 sebagai Penolong Pengarah, Unit Pengurusan Dan Profesional, Bahagian Perkhidmatan, Jabatan Perkhidmatan Awam.
Jawatan Setiausaha Kerajaan Negeri Perak disandang oleh YB Dato Ahmad Suaidi bin Abdul Rahim. Dilahirkan pada 11 Mac 1970 di Pantai Remis, Perak, beliau telah memulakan kerjayanya sebagai Pegawai Tadbir dan Diplomatik pada 15 Januari 1996 dan pernah berkhidmat sebagai Timbalan Setiausaha Kerajaan (Pembangunan) Negeri Selangor, Pengarah Pejabat Tanah dan Galian Negeri Selangor dan Pegawai Daerah di Hulu Selangor dan Gombak.