Dewan Negeri Perak Lulus RUU Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Perak) (Pindaan) 2025
Persidangan dimulakan dengan bacaan doa di Bangunan Perak Darul Ridzuan
IPOH, 11 September 2025 - Kerajaan Negeri Perak hari ini membentangkan Rang Undang-Undang (RUU) Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Perak) (Pindaan) 2025 pada Mesyuarat Kedua, Tahun Ketiga, Dewan Negeri Perak Darul Ridzuan Yang Kelima Belas di Bangunan Perak Darul Ridzuan.
Enakmen itu telah dibentangkan oleh YAB Dato’ Seri Saarani bin Mohamad, Menteri Besar Perak merangkap Ahli Dewan Negeri Kota Tampan, untuk bacaan kedua kemudian disokong sebulat suara oleh semua Ahli Dewan Undangan Negeri yang hadir.
Beliau berkata, RUU itu melibatkan beberapa pindaan penting kepada Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Perak) 2004, seksyen 109 dan subseksyen 111(2).
“Pindaan RUU ini adalah bersifat pindaan berbangkit (consequential amendment) dengan dikeluarkan peruntukan berkaitan kuasa Majlis mendaftarkan sekolah serta kuasa membuat peraturan-peraturan berhubung pentadbiran sekolah dan aktiviti berkaitan pengajaran agama Islam.
"Seksyen 109. Tertakluk kepada Enakmen Kawalan Sekolah-Sekolah Agama Islam 1996 [Enakmen Bil.10 Tahun 1996], Majlis hendaklah mempunyai kuasa untuk mendaftarkan sekolah-sekolah Agama Islam di Negeri Perak Darul Ridzuan. Seksyen 109 ini dipotong.
“Seksyen 111(2) Tanpa menjejaskan keluasan kuasa yang diberikan di bawah subseksyen (1), peraturan-peraturan boleh dibuat untuk mengadakan peruntukan bagi –
(j)tertakluk kepada Enakmen Kawalan sekolah-Sekolah Agama Islam 1996, pentadbiran sekolah-sekolah agama Islam dan aktiviti yang berkaitan dengan pengajaran agama Islam;
Subseksyen 111(2) dipinda dengan memotong perenggan (j).
“Dengan RUU Pentadbiran Agama Islam (Perak) (Pindaan) 2025 yang dicadangkan ini, kawal selia terhadap urus tadbir institusi pendidikan agama Islam di negeri dilihat mampu diurus dengan baik dan efisien selaras dengan peruntukan undang-undang dan dapat memberi manfaat kepada rakyat negeri Perak, khususnya yang beragama Islam,” jelasnya.
Tambah beliau lagi, cadangan pindaan ini telah dibincangkan bersekali dengan RUU Kawalan Sekolah-Sekolah Agama Islam (Perak) 2025 dalam Mesyuarat Jawatankuasa Teknikal Penggubalan serta telah diangkat kepada Mesyuarat Jawatankuasa Penggubalan Undang-Undang Syariah Negeri Perak dan telah dibentangkan kepada Persidangan Majlis Agama Islam dan ‘Adat Melayu Perak pada 26 Jun 2025 dan diluluskan.
Setelah itu, RUU ini diangkat dan diluluskan oleh Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMK) bilangan 1366 bertarikh 6 Ogos 2025 bagi membolehkan ia dibentang untuk dibahas dan diluluskan oleh Dewan Negeri Perak.
Persidangan ditangguhkan ke satu masa yang tidak ditetapkan.
Sumber : Korporat, SUK Perak.

Jawatan Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri Perak (Pengurusan) disandang oleh YBhg. Dato' Nor Sham Binti Rahman. Beliau berkelulusan L.L.B. (HONS) (UIA) dan D.P.A. (INTAN). Beliau memulakan perkhidmatan dalam kerajaan pada 15 September 1997 sebagai Penolong Pengarah, Unit Pengurusan Dan Profesional, Bahagian Perkhidmatan, Jabatan Perkhidmatan Awam.
Jawatan Setiausaha Kerajaan Negeri Perak disandang oleh YB Dato Ahmad Suaidi bin Abdul Rahim. Dilahirkan pada 11 Mac 1970 di Pantai Remis, Perak, beliau telah memulakan kerjayanya sebagai Pegawai Tadbir dan Diplomatik pada 15 Januari 1996 dan pernah berkhidmat sebagai Timbalan Setiausaha Kerajaan (Pembangunan) Negeri Selangor, Pengarah Pejabat Tanah dan Galian Negeri Selangor dan Pegawai Daerah di Hulu Selangor dan Gombak.