RM7.9 Bilion Suntikan Baharu Lonjak TVET Sebagai Teras Ekonomi Negara.
Ketibaan YAB Dato' Seri Diraja Dr. Ahmad Zahid bin Hamidi disambut meriah oleh para tetamu yang hadir.
IPOH, 11 Oktober 2025 – Kerajaan meningkatkan peruntukan bagi sektor Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) kepada RM7.9 bilion dalam Belanjawan 2026, berbanding RM7.5 bilion pada tahun ini, bagi memperkukuh pembangunan tenaga kerja berkemahiran tinggi yang menjadi tunjang kepada pertumbuhan ekonomi negara.
YAB Dato' Seri Diraja Dr. Ahmad Zahid bin Hamidi, Timbalan Perdana Menteri, berkata peningkatan peruntukan itu membuktikan kesungguhan kerajaan untuk mengangkat TVET sebagai pemacu utama kemajuan negara serta agenda baharu pembangunan ekonomi Malaysia berasaskan kemahiran dan inovasi.
Beliau berkata demikian ketika menyempurnakan Majlis Perasmian Ekspo TVET@KKDW 2025 di Pusat Konvensyen Ipoh (ICC), di sini.
Tambahnya lagi, daripada jumlah keseluruhan RM7.9 bilion itu, sebanyak RM3 bilion disalurkan kepada Pembangunan Sumber Manusia Berhad (HRD Corp) bagi menyediakan peluang latihan berfokus kepada sektor teknologi tinggi, digital dan peralihan tenaga.
Sementara itu, Majlis TVET Negara menerima RM45 juta bagi pelaksanaan program IPT@Komuniti yang memberi manfaat kepada 10,000 orang pelajar tahfiz dan pondok melalui latihan digital serta kecerdasan buatan (AI).
Sebanyak RM1.3 bilion pula diperuntukkan kepada institusi TVET di bawah Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) untuk menaja lebih 79,000 orang pelatih di seluruh negara, manakala RM650 juta kepada Perbadanan Tabung Pembangunan Kemahiran (PTPK) bagi memperluas latihan berteraskan industri.
Sebanyak RM34 juta pula diperuntukkan kepada Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK) untuk memperkukuh latihan tenaga pengajar.
Dalam masa sama, kerajaan turut meluluskan pembinaan sebuah Kolej Vokasional baharu di Sabah, menaik taraf hangar latihan di ADTEC Shah Alam serta membina kompleks Teaching Shipyard TVET Marine di Universiti Malaysia Terengganu (UMT) sebagai pusat latihan maritim.
YAB Dato' Seri Diraja Dr. Ahmad Zahid bin Hamidi menjelaskan bahawa pelaburan ini akan memperkukuh ekosistem TVET agar terus inklusif dan responsif terhadap keperluan industri semasa.
“Kadar kebolehpasaran graduan TVET Malaysia kini mencapai 95.1 peratus, manakala di kolej vokasional meningkat kepada 97.6 hingga 98.7 peratus, hasil pelaksanaan sistem latihan dual-training yang menekankan pengalaman praktikal di industri sebenar.
“TVET bukan lagi pilihan kedua, ia kini laluan strategik dan setaraf dengan pendidikan akademik universiti. Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) kini diperluas sehingga Tahap 8, bersamaan dengan ijazah sarjana muda, sarjana dan doktor falsafah (PhD),” katanya.
Hadir sama, YB Dato’ Mohd Zolkafly bin Harun, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar, Perladangan, Pertanian dan Industri Makanan mewakili YAB Dato’ Seri Saarani bin Mohamad, Menteri Besar Perak; YB Datuk Hajah Rubiah binti Haji Wang, Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW); YBhg. Datuk Muhd Khair Razman bin Mohamed Annuar, Ketua Setiausaha KKDW; YBhg. Dato’ Abdul Kahar bin Abdullah, Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar) KKDW; YBrs. Puan Hajah Halizah binti Sipun, Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri Perak (Pembangunan) serta YB Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Perak.
Ekspo TVET@KKDW 2025 yang berlangsung selama tiga hari bermula semalam sehingga esok di ICC Ipoh menghimpunkan lapan buah agensi utama dan 14 buah institusi latihan di bawah KKDW termasuk MARA, GIATMARA, KEMAS, RISDA, PERDA, KEDA, KETENGAH dan FELCRA.
Bertemakan “TVET Masa Depan: Berkemahiran, Berinovasi, Berteknologi Tinggi”, ekspo itu dijangka menarik lebih 300,000 pengunjung secara fizikal dan maya, serta menjadi wadah memperkukuh penjenamaan TVET sebagai laluan pendidikan dan kerjaya utama generasi muda.
Sumber : Korporat, SUK Perak.

Jawatan Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri Perak (Pengurusan) disandang oleh YBhg. Dato' Nor Sham Binti Rahman. Beliau berkelulusan L.L.B. (HONS) (UIA) dan D.P.A. (INTAN). Beliau memulakan perkhidmatan dalam kerajaan pada 15 September 1997 sebagai Penolong Pengarah, Unit Pengurusan Dan Profesional, Bahagian Perkhidmatan, Jabatan Perkhidmatan Awam.
Jawatan Setiausaha Kerajaan Negeri Perak disandang oleh YB Dato Ahmad Suaidi bin Abdul Rahim. Dilahirkan pada 11 Mac 1970 di Pantai Remis, Perak, beliau telah memulakan kerjayanya sebagai Pegawai Tadbir dan Diplomatik pada 15 Januari 1996 dan pernah berkhidmat sebagai Timbalan Setiausaha Kerajaan (Pembangunan) Negeri Selangor, Pengarah Pejabat Tanah dan Galian Negeri Selangor dan Pegawai Daerah di Hulu Selangor dan Gombak.