SUK Perak Terima Anugerah Citra Sahabat DBP 2025.
Tetamu kehormat bergambar bersama
SELANGOR, 12 Oktober 2025 - Pejabat Setiausaha Kerajaan (SUK) Negeri Perak menerima Anugerah Citra Sahabat Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) 2025 di Pusat Konvensyen MPAJ, Taman Melawati, di sini.
Penyampaian watikah tersebut telah disempurnakan oleh YAB Dato’ Seri Amirudin bin Shari, Menteri Besar Selangor ketika Majlis Pelancaran Bulan Bahasa Kebangsaan 2025 Peringkat Kebangsaan.
Anugerah berkenaan telah diterima oleh Puan Anita binti Amri, Ketua Penolong Setiausaha Kerajaan mewakili Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Perak.
Penyampaian anugerah tersebut merupakan pengiktirafan yang diberikan kepada individu, persatuan, syarikat, pertubuhan ataupun agensi yang telah memainkan peranan penting dan berkesan dalam membantu DBP menyebarluas dan memartabatkan bahasa, sastera dan persuratan Melayu.
Hadir sama, YBhg. Dato' Ts. Dr. Hj. Aminuddin bin Hassim, Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan; YB Dato' Dr. Ahmad Fadzli bin Ahmad Tajuddin, Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor; YBhg. Dato' Dr. Mohd Anuar bin Haji Rethwan, Pengerusi Lembaga Pengelola DBP; YBrs. Dr. Hazami bin Jahari, Ketua Pengarah DBP, YBhg. Tan Sri Syed Danial bin Syed Ahmad, Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja.
Sementara itu, YAB Dato’ Seri Amirudin bin Shari dalam ucapannya menegaskan bahawa penguasaan dan penggunaan bahasa Melayu perlu terus diberi keutamaan dalam semua urusan rasmi dan kehidupan bermasyarakat kerana bahasa merupakan asas kepada pembentukan jati diri serta perpaduan bangsa.
“Bahasa Melayu ialah lambang maruah negara yang mencerminkan budaya, adat dan nilai bangsa. Justeru, tanggungjawab untuk memelihara dan memartabatkannya perlu digalas bersama oleh seluruh rakyat,” katanya.
Tambahnya lagi, usaha memperkasa bahasa kebangsaan harus diterjemahkan dalam bentuk penguatkuasaan termasuk memastikan pematuhan terhadap penggunaan bahasa Melayu pada papan tanda, dokumen rasmi serta bahan komunikasi kerajaan dan swasta, selaras dengan peruntukan di bawah Akta Bahasa Kebangsaan 1963/67.
Sumber : Korporat, SUK Perak.

Jawatan Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri Perak (Pengurusan) disandang oleh YBhg. Dato' Nor Sham Binti Rahman. Beliau berkelulusan L.L.B. (HONS) (UIA) dan D.P.A. (INTAN). Beliau memulakan perkhidmatan dalam kerajaan pada 15 September 1997 sebagai Penolong Pengarah, Unit Pengurusan Dan Profesional, Bahagian Perkhidmatan, Jabatan Perkhidmatan Awam.
Jawatan Setiausaha Kerajaan Negeri Perak disandang oleh YB Dato Ahmad Suaidi bin Abdul Rahim. Dilahirkan pada 11 Mac 1970 di Pantai Remis, Perak, beliau telah memulakan kerjayanya sebagai Pegawai Tadbir dan Diplomatik pada 15 Januari 1996 dan pernah berkhidmat sebagai Timbalan Setiausaha Kerajaan (Pembangunan) Negeri Selangor, Pengarah Pejabat Tanah dan Galian Negeri Selangor dan Pegawai Daerah di Hulu Selangor dan Gombak.