Semarak Aspirasi Negeri Melalui Program Menjulang Perak Sejahtera 2030.
Hadir sama, YB Dato' Mohd Zaki bin Mahyudin_ YBhg. Dato’ Nor Sham binti Rahman serta Encik Mohd Azraie bin Harun
IPOH, 16 Oktober 2025 – Semangat menuju Perak Sejahtera 2030 terus disemarakkan menerusi Program Menjulang Aspirasi Perak Sejahtera 2030 yang berlangsung di Dewan Bankuet, Bangunan Perak Darul Ridzuan hari ini.
Program anjuran Bahagian Pengurusan Sumber Manusia (BPSM) dengan kerjasama Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN) Perak, Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Perak itu menghimpunkan lebih 800 orang peserta terdiri daripada warga perkhidmatan awam pelbagai jabatan dan agensi kerajaan negeri serta persekutuan.
Penganjuran program ini bertujuan memperkukuh kefahaman serta penghayatan penjawat awam terhadap hala tuju pembangunan negeri yang berteraskan Pelan Perak Sejahtera 2030.
Dalam ucapan perasmiannya, YB Dato’ Ahmad Suaidi bin Abdul Rahim, Setiausaha Kerajaan Negeri Perak, menegaskan bahawa pelaksanaan Perak Sejahtera 2030 ialah pelan menyeluruh yang dirangka untuk memperkasakan ekonomi, pembangunan modal insan, kelestarian alam sekitar serta kesejahteraan sosial rakyat.
“Pelan ini telah kita rencanakan untuk semua dalam memastikan usaha menyantuni masyarakat dan pembangunan negeri dapat dilaksanakan dengan sebaiknya. Ia mesti memberi manfaat dan impak kepada semua lapisan rakyat,” ujar beliau.
Beliau turut menekankan bahawa sikap alpa dan sambil lewa harus dihindari dalam kalangan penjawat awam. Sebaliknya, nilai tanggungjawab, keikhlasan dan semangat kerja berpasukan perlu terus dipupuk bagi memastikan setiap agenda pembangunan negeri dapat dicapai dengan berkesan.
"Sikap bertanggungjawab bukan sahaja perlu ditanam dalam diri kita semua, malah mesti dizahirkan melalui tindakan. Justeru itu, kita perlu bergerak sederap selangkah sebagai satu pasukan – barulah setiap cabaran dapat kita tangkis dengan sebaiknya,” katanya lagi.
Menurut beliau, komitmen kerajaan dalam merencana dan melaksanakan pembangunan negeri perlu diterjemahkan dengan jelas kepada kumpulan sasar supaya setiap inisiatif yang digariskan benar-benar memberi manfaat kepada rakyat, seiring dengan matlamat Perak Makmur, Rakyat Sejahtera.
Hadir sama, YB Dato' Mohd Zaki bin Mahyudin, Pegawai Kewangan Negeri Perak; YBhg. Dato’ Nor Sham binti Rahman, Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri Perak (Pengurusan); Encik Mohd Azraie bin Harun, Setiausaha Bahagian, BPSM dan Puan Haslinda binti Alias, Timbalan Pengarah Kanan, UPEN.
Sumber : Korporat, SUK Perak.

Jawatan Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri Perak (Pengurusan) disandang oleh YBhg. Dato' Nor Sham Binti Rahman. Beliau berkelulusan L.L.B. (HONS) (UIA) dan D.P.A. (INTAN). Beliau memulakan perkhidmatan dalam kerajaan pada 15 September 1997 sebagai Penolong Pengarah, Unit Pengurusan Dan Profesional, Bahagian Perkhidmatan, Jabatan Perkhidmatan Awam.
Jawatan Setiausaha Kerajaan Negeri Perak disandang oleh YB Dato Ahmad Suaidi bin Abdul Rahim. Dilahirkan pada 11 Mac 1970 di Pantai Remis, Perak, beliau telah memulakan kerjayanya sebagai Pegawai Tadbir dan Diplomatik pada 15 Januari 1996 dan pernah berkhidmat sebagai Timbalan Setiausaha Kerajaan (Pembangunan) Negeri Selangor, Pengarah Pejabat Tanah dan Galian Negeri Selangor dan Pegawai Daerah di Hulu Selangor dan Gombak.