DYMM Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan Berkenan Berangkat Ke Majlis Sambutan Deepavali Negeri Perak Darul Ridzuan Tahun 2025.
Keberangkatan tiba DYAM Raja DiHilir Perak Darul Ridzuan.
IPOH, 26 Oktober 2025 - DYMM Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah Ibni Almarhum Sultan Azlan Muhibbuddin Shah Al-Maghfur-Lah dan DYMM Raja Permaisuri Perak Darul Ridzuan, Tuanku Zara Salim berkenan bercemar duli berangkat ke Majlis Sambutan Deepavali Negeri Perak Darul Ridzuan Tahun 2025 di Stadium Indera Mulia.
Turut berkenan berangkat, DYTM Raja Muda Perak Darul Ridzuan, Raja Jaafar Ibni Almarhum Raja Muda Musa; DYAM Raja DiHilir Perak Darul Ridzuan, Raja Iskandar Dzurkarnain Ibni Almarhum Sultan Idris A’fifullah Shah dan DYAM Raja Puan Muda Perak Darul Ridzuan, Tunku Soraya Binti Almarhum Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah; YTM Raja Kecil Besar Perak Darul Ridzuan, Raja Dato’ Seri Azlan Muzaffar Shah Ibni Sultan Nazrin Muizzuddin Shah; YTM Raja Kecil Sulong Perak Darul Ridzuan, Raja Dato’ Seri Ahmad Nazim Azlan Shah bin Raja Ashman Shah dan YTM Datin Seri Nadia Esham binti Esham.
Hadir sama, YAB Dato’ Seri Saarani bin Mohamad, Menteri Besar Perak dan isteri, YABhg. Datin Seri Aezer binti Zubin; YABhg. Orang Kaya Bendahara Seri Maharaja, Jeneral Dato’ Seri Diraja Tan Sri (Dr.) Mohd Zahidi bin Haji Zainuddin (Bersara) dan isteri YABhg. Toh Puan Datin Seri Diraja Puan Sri Rasiah binti Mohd Noor serta YB Dato’ Mohammad Zahir bin Dato’ Abdul Khalid, Yang di-Pertua Dewan Negeri Perak dan isteri, YBhg. Datin Aznee binti Abu Samah.
Turut hadir, YB Dato’ Azmir Shah bin Zainal Abidin, Penasihat Undang-Undang Negeri Perak; YB Dato’ Mohd Zaki bin Mahyudin, Pegawai Kewangan Negeri Perak; YB Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri, Orang Besar-Orang Besar Negeri Perak serta ketua-ketua jabatan negeri dan persekutuan.
YAB Dato' Seri Saarani bin Mohamad dalam sembah ucapannya berkata, Deepavali diraikan sebagai pesta cahaya yang menyinari kegelapan, lantas membungkam kezaliman.
"Cahaya yang dinyalakan itu menjadi lambang kemenangan kebaikan mengatasi kejahatan, dan kasih sayang mengatasi kebencian.
“Kita melihat satu persatu insiden jenayah kekerasan yang menamatkan nyawa tanpa belas ehsan. Kita melihat anak-anak muda yang hilang arah, mencemarkan institusi pendidikan dengan tingkah laku yang menyesakkan dada.
"Kita melihat masyarakat yang kian hilang rasa peduli — tidak lagi menghulur tangan kepada yang susah, tidak lagi menegur dengan hikmah.
"Maka, sempena Deepavali ini, marilah kita bersama-sama membetulkan keadaan — menyalakan semula pelita keinsafan dan kemanusiaan di hati masing-masing,” jelasnya.
Pada majlis itu, baginda berdua berkenan menyampaikan sumbangan kepada 70 orang anak yatim daripada Pusat Jagaan Pertubuhan Anak-anak Yatim Nurul Iman, Pusat Pengurusan Pusat Jagaan 1 Malaysia Perak, Pusat Jagaan Pertubuhan Kebajikan Kanak-kanak Pelangi Perak, Persatuan Kebajikan Kanak-kanak Yatim Rumah Visi dan dan Pertubuhan Kebajikan Insan Kanak-Kanak Arut Perum Jothy.
Dalam perkembangan sama, dianggarkan lebih 10,000 orang pengunjung dari pelbagai kaum telah hadir bagi memeriahkan majlis sambutan tersebut dengan pelbagai juadah disediakan antaranya vadai, jelebi, panni poori, falooda, idli dan paroota.
Sumber : Korporat, SUK Perak.

Jawatan Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri Perak (Pengurusan) disandang oleh YBhg. Dato' Nor Sham Binti Rahman. Beliau berkelulusan L.L.B. (HONS) (UIA) dan D.P.A. (INTAN). Beliau memulakan perkhidmatan dalam kerajaan pada 15 September 1997 sebagai Penolong Pengarah, Unit Pengurusan Dan Profesional, Bahagian Perkhidmatan, Jabatan Perkhidmatan Awam.
Jawatan Setiausaha Kerajaan Negeri Perak disandang oleh YB Dato Ahmad Suaidi bin Abdul Rahim. Dilahirkan pada 11 Mac 1970 di Pantai Remis, Perak, beliau telah memulakan kerjayanya sebagai Pegawai Tadbir dan Diplomatik pada 15 Januari 1996 dan pernah berkhidmat sebagai Timbalan Setiausaha Kerajaan (Pembangunan) Negeri Selangor, Pengarah Pejabat Tanah dan Galian Negeri Selangor dan Pegawai Daerah di Hulu Selangor dan Gombak.