Lawatan YB Setiausaha Kerajaan Negeri Perak Ke Pasar Pagi Sungai Bayor Dan Mesyuarat Bersama Pegawai Daerah.
YB Dato’ Ahmad Suaidi bin Abdul Rahim beramah mesra bersama peniaga pasar berkenaan
SELAMA, 23 Januari 2026 – YB Dato’ Ahmad Suaidi bin Abdul Rahim, Setiausaha Kerajaan Negeri Perak telah mengadakan lawatan kerja ke Pasar Pagi Sungai Bayor (PPSB), di sini sebelum mempengerusikan Mesyuarat Setiausaha Kerajaan Negeri Perak Bersama Pegawai Daerah (SSDO) Bilangan 1/2026 yang berlangsung di Pejabat Daerah dan Tanah (PDT) Selama.
Lawatan ke PPSB yang bermula pada jam 8.30 pagi itu bertujuan meninjau secara langsung operasi pasar pagi berkenaan serta mendengar taklimat berkaitan cadangan penambahbaikan infrastruktur, khususnya melibatkan aspek keselamatan, keselesaan pengunjung dan peniaga, pengurusan trafik, kemudahan pejalan kaki serta penyediaan tandas awam.
Dalam lawatan berkenaan, YB Dato’ Ahmad Suaidi bin Abdul Rahim turut dibawa melawat tapak pembinaan mercu tanda PPSB dan projek tandas awam yang sedang dirancang sebagai usaha mempertingkatkan imej serta kemudahan pasar pagi berkenaan.
Pasar Pagi Sungai Bayor (PPSB) telah diiktiraf sebagai pasar pagi terpanjang di Malaysia oleh Malaysia Book of Records dengan jarak sejauh 2.32 kilometer. Pasar ini beroperasi setiap hari Jumaat bermula jam 7.30 sehingga 12.30 tengah hari dan menampilkan antara 300 sehingga 600 penjaja dari negeri Perak, Kedah dan Pulau Pinang, sekali gus menjadikannya antara tarikan ekonomi setempat yang signifikan di daerah Selama.
Selesai lawatan, YB Dato’ Ahmad Suaidi bin Abdul Rahim kemudiannya bertolak ke PDT Selama untuk mempengerusikan Mesyuarat SSDO Bilangan 1/2026 yang bermula pada jam 10.00 pagi.
Hadir sama, YBhg. Dato’ Nor Sham binti Rahman, Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri (Pengurusan); YBrs. Puan Halizah binti Sipun, Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri Perak (Pembangunan); YBhg. Dato' Mohamad Fariz bin Mohamad Hanip, Pengarah Tanah dan Galian Negeri Perak; Puan Nuruljaswa binti Abd Hamid, Setiausaha Bahagian, Bahagian Khidmat Pengurusan (BKP), Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Perak serta Pegawai-Pegawai Daerah dari seluruh negeri Perak.
Mesyuarat dimulakan dengan pembentangan serta laporan perbelanjaan pembangunan daerah, diikuti perbincangan berkaitan pencapaian hasil negeri, selain meneliti matlamat dan hala tuju Kerajaan Negeri Perak selaras dengan pelaksanaan Pelan Perak Sejahtera 2030.
Sumber : Korporat, SUK Perak.

Jawatan Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri Perak (Pengurusan) disandang oleh YBhg. Dato' Nor Sham Binti Rahman. Beliau berkelulusan L.L.B. (HONS) (UIA) dan D.P.A. (INTAN). Beliau memulakan perkhidmatan dalam kerajaan pada 15 September 1997 sebagai Penolong Pengarah, Unit Pengurusan Dan Profesional, Bahagian Perkhidmatan, Jabatan Perkhidmatan Awam.
Jawatan Setiausaha Kerajaan Negeri Perak disandang oleh YB Dato Ahmad Suaidi bin Abdul Rahim. Dilahirkan pada 11 Mac 1970 di Pantai Remis, Perak, beliau telah memulakan kerjayanya sebagai Pegawai Tadbir dan Diplomatik pada 15 Januari 1996 dan pernah berkhidmat sebagai Timbalan Setiausaha Kerajaan (Pembangunan) Negeri Selangor, Pengarah Pejabat Tanah dan Galian Negeri Selangor dan Pegawai Daerah di Hulu Selangor dan Gombak.