Skip to main content

DYMM Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan Berkenan Berangkat Ke Majlis Berbuka Puasa Media, Korporat, Swasta, GLC, NGO Dan Belia : 28 Februari 2026.

DYMM Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan dan DYMM Raja Permaisuri Perak Darul Ridzuan berkenan bercemar duli berangkat ke Majlis Berbuka Puasa Bersama Media, Sektor Korporat, Swasta, Syarikat Berkaitan Kerajaan, Badan Bukan Kerajaan (NGO) dan Belia di Istana Iskandariah

KUALA KANGSAR, 28 Februari 2026 - DYMM Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah Ibni Almarhum Sultan Azlan Muhibbuddin Shah Al-Maghfur-Lah berkenan bercemar duli berangkat ke Majlis Berbuka Puasa Bersama Media, Sektor Korporat, Swasta, Syarikat Berkaitan Kerajaan, Badan Bukan Kerajaan (NGO) dan Belia di Istana Iskandariah, di sini.

Keberangkatan tiba baginda diiringi DYMM Raja Permaisuri Perak Darul Ridzuan, Tuanku Zara Salim.

Hadir sama YAB Dato' Seri Saarani bin Mohamad, Menteri Besar Perak; YB Datuk Ahmad Fahmi bin Mohamed Fadzil, Menteri Komunikasi dan isteri, YBhg. Datin Azrina Puteri binti Mohamed Mahyuddin; YABhg. Orang Kaya Bendahara Seri Maharaja, Jen. Dato’ Seri DiRaja Tan Sri (Dr.) Mohd. Zahidi bin Haji Zainuddin (Bersara) dan isteri, YABhg. Toh Puan Datin Seri DiRaja Puan Sri Hajah Rasiah binti Md. Nor serta YB Dato' Ahmad Suaidi bin Abdul Rahim, Setiausaha Kerajaan Negeri Perak dan isteri, YBhg. Datin Che Fauziah binti Ahmad.

Sebelum berbuka puasa dan menunaikan solat Maghrib, baginda berkenan menyertai bacaan tahlil.

Baginda kemudiannya turut menunaikan solat Isyak dan solat sunat Tarawih bersama para tetamu yang hadir.

Terdahulu, baginda berkenaan menerima zakat perniagaan berjumlah RM5,417,188.56 daripada lapan syarikat korporat dan dua individu kepada Zakat Perak Al Ridzuan (ZAPAR).

Penyerahan zakat didahului dengan zakat pendapatan oleh YBhg. Dato' Abdullah bin Abdul Mannan berjumlah RMI juta dan disusuli oleh Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (Angkasa) diwakili Presidennya, YBhg. Datuk Seri Dr Abdul Fattah bin Abdullah berjumlah RM364,852.56.

Seterusnya, zakat perniagaan daripada Belati diwakili oleh Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Johawaki, YBrs. Encik Mohamad Akmal bin Dato’ Johari berjumlah RM380,000.00.

Selain itu, Boustead Plantations Berhad diwakili oleh YBhg. Datuk Zulkarnain bin Md Eusope, Pengarah Urusan Boustead Plantation Berhad berjumlah RM434,000.00.

Kemudian, diikuti CelcomDigi Berhad, diwakili oleh YBrs. Encik Farizad Khan bin Msm Mohamed Ali, Ketua Wilayah, Wilayah Utara berjumlah RM107,000.00 dan YBrs. Encik Abdul Hadi bin Dato' Abdul Rahim mewakili Johawaki Plantation Sdn. Bhd. dengan jumlah RM150,800.00.

Seterusnya zakat perniagaan oleh Lembaga Jurukur Tanah Malaysia berjumlah RM250,000; Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) sebanyak RM200,000 serta TM Technology Services Sdn Bhd dengan jumlah RM230,536.

Turut menyerahkan zakat pendapatan ialah YBhg. Dato' Syed Abu Hussin Hafiz bin Syed Abdul Fasal, Ahli Parlimen Bukit Gantang, berjumlah RM2.3 juta.

Usai sesi penyerahan, DYMM Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan berkenan menyerahkan zakat kepada YABhg. Tan Sri Dato’ Seri Mohd. Annuar Bin Zaini, Yang Dipertua, Majlis Agama Islam dan ‘Adat Melayu Perak (MAIPk).

FaLang translation system by Faboba
  • Hakmilik © 2020 Kerajaan Negeri Perak. Kemaskini Terakhir : Jumaat 17 April 2026, 09:34:37.
Paparan Terbaik: 1600 x 900 Piksel melalui Mozilla Firefox dengan resolusi SUSUN ATUR RESPONSIF.