Skip to main content

Lawatan Penanda Aras Bagi Sistem e-Perak Oleh Planmalaysia Perlis : 11 Mei 2026.

Delegasi PLANMalaysia mengadakan lawatan penanda aras ke Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN) Perak bagi melihat pelaksanaan dan pembangunan Sistem e-Perak

IPOH, 11 Mei 2026 – Delegasi PLANMalaysia Perlis telah mengadakan lawatan penanda aras ke Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN) Perak bagi melihat pelaksanaan dan pembangunan Sistem e-Perak yang digunakan oleh Kerajaan Negeri Perak dalam pengurusan data pembangunan luar bandar.

 

Lawatan tersebut diketuai oleh YBrs. Encik Rusdi bin Yahya, Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri Perlis (Pembangunan).

 

Ketibaan delegasi telah disambut oleh YBrs. Puan Halizah binti Sipun, Timbalan Setiausaha Kerajaan (Pembangunan) merangkap Pengarah UPEN.

 

Sistem e-Perak merupakan penjenamaan semula daripada Sistem Maklumat e-Desa dengan penambahbaikan melalui pembangunan modul dashboard dan modul cetakan bagi pengguna berdaftar.

 

Aplikasi ini dibangunkan bagi mendokumentasikan profil 828 Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) di seluruh Negeri Perak dengan mengambil kira profil penduduk di kawasan penempatan dalam bentuk spatial dan atribut.

 

Melalui sistem tersebut, Kerajaan Negeri dan pihak JPKK dapat merancang projek serta program pembangunan luar bandar dengan lebih tersusun, sistematik dan berkesan berdasarkan data yang lengkap dan terkini.

 

Delegasi turut diberikan taklimat berkaitan pelaksanaan Sistem e-Perak oleh pihak PerakGIS UPEN sebelum sesi soal jawab diadakan bagi berkongsi pandangan serta pengalaman pelaksanaan sistem berkenaan.

 

Lawatan penanda aras ini diharap dapat mengukuhkan hubungan kerjasama antara Negeri Perak dan Perlis dalam memperkasakan penggunaan teknologi digital bagi menyokong agenda pembangunan luar bandar dan penyampaian perkhidmatan kerajaan yang lebih efisien.

Hadir sama, YBrs. Puan Haslinda binti Alias, Timbalan Pengarah Kanan, UPEN; YBrs. Puan Rosnidawati binti Mohd Ramli; Ketua Unit PerakGIS; wakil-wakil Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Perlis dan wakil-wakil PLANMalaysia Perlis.

FaLang translation system by Faboba
  • Hakmilik © 2020 Kerajaan Negeri Perak. Kemaskini Terakhir : Khamis 14 Mei 2026, 07:31:02.
Paparan Terbaik: 1600 x 900 Piksel melalui Mozilla Firefox dengan resolusi SUSUN ATUR RESPONSIF.