Skip to main content

DYMM Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan Berkenan Solat Jumaat Bersama Pelajar, Warga Pendidik Sempena Sambutan Hari Guru : 15 Mei 2026. 

DYMM Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan berkenan berangkat menunaikan Solat Jumaat

IPOH, 15 Mei 2026 - DYMM Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah Ibni Almarhum Sultan Azlan Muhibbuddin Shah Al-Maghfur-Lah berkenan bercemar duli berangkat menunaikan Solat Jumaat bersama lebih daripada 2,000 pelajar dan warga pendidikan sempena sambutan Hari Guru Peringkat Kebangsaan di Masjid Sultan Idris Shah II (Masjid Negeri Perak), di sini.

Keberangkatan tiba baginda disambut oleh YAB Dato’ Seri Saarani bin Mohamad, Menteri Besar Perak dan YBhg. Datuk Dr Mohd Azam bin Ahmad, Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia.

Hadir sama YABhg. Orang Kaya Bendahara Seri Maharaja, Jeneral Dato’ Seri DiRaja Tan Sri (Dr.) Mohd. Zahidi bin Haji Zainuddin (Bersara); YB Dato’ Ahmad Suaidi bin Abdul Rahim, Setiausaha Kerajaan Negeri Perak; YB Dato’ Azmir Shah bin Zainal Abidin, Penasihat Undang-Undang Negeri Perak dan YB Ahli- Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Perak;

Turut hadir, YABhg. Tan Sri Dato’ Seri Mohd Annuar bin Zaini, Yang Di-Pertua Majlis Agama Islam dan ‘Adat Melayu Perak (MAIPk); YBhg. Dato' Haji Harith Fadzilah bin Hj. Abd. Halim, Pengarah Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk); Orang Besar-Orang Besar Negeri Perak serta ketua-ketua jabatan negeri dan persekutuan.

Usai menunaikan solat Jumaat, baginda berkenan beramah mesra dan bersalaman bersama para jemaah sebelum berangkat pulang.

Terdahulu, YBhg. Datuk Dr. Mohd Azam bin Ahmad mengetuai warga pendidik dan guru bagi menyampaikan khutbah Jumaat yang bertajuk "Guru Berhikmah Membina Insan Sejahtera"

Khutbah tersebut mengangkat peranan guru yang diumpamakan sebagai penyambung risalah Rasulullah SAW serta insan mulia yang amat besar jasanya dalam mendidik dan membentuk masyarakat.

Menurut beliau, negara menetapkan tarikh 16 Mei untuk sambutan Hari Guru, bertujuan menghargai jasa, khidmat bakti, dan pengorbanan yang diabadikan oleh guru dalam memenuhi tanggungjawab fardu kifayah, mendidik, membimbing dan mengasuh anak didik mereka;

"Guru yang paling agung ialah Rasulullah SAW. Baginda mendidik para sahabat secara berhikmah, mendidik bukan dengan kekerasan tetapi dengan akhlak yang luhur, kesabaran dan kebijaksanaan sehingga lahir generasi terbaik.

"Pendekatan Rasulullah SAW merupakan kaedah didikan berhikmah, selaras dengan ayat 125 surah An-Nahl yang khatib baca pada awal khutbah, lalu berjaya melahirkan manusia yang sejahtera dunia dan akhirat," katanya.

Dalam perkembangan sama, DYMM Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan telah memperkenankan seramai 625 warga pendidik dan guru di negeri ini untuk menyampaikan khutbah Jumaat bersempena Sambutan Hari Guru yang diraikan pada setiap 16 Mei.

Pada masa sama, Jabatan Pendidikan turut menganjurkan program pengimarahan masjid yang disertai kira-kira 2,000 pelajar dan warga pendidikan di sini, melibatkan pengisian program motivasi kerohanian murid serta bacaan Surah Yasin, tahlil dan doa selamat.

FaLang translation system by Faboba
  • Hakmilik © 2020 Kerajaan Negeri Perak. Kemaskini Terakhir : Jumaat 29 Mei 2026, 08:32:51.
Paparan Terbaik: 1600 x 900 Piksel melalui Mozilla Firefox dengan resolusi SUSUN ATUR RESPONSIF.