Skip to main content

DYMM Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan Berkenan Tunai Solat Sunat Dan Santapan Sempena Hari Raya Aidiladha : 27 Mei 2026.

Keberangkatan baginda disambut oleh para tetamu yang hadir

IPOH, 27 Mei 2026 - DYMM Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah Ibni Almarhum Sultan Azlan Muhibbuddin Shah Al-Maghfur-Lah berkenan berangkat menunaikan solat sunat Aidiladha bersama kira-kira 1,000 orang jemaah di Masjid Sultan Idris Shah II (Masjid Negeri) Mahadi, di sini.

Turut berkenan berangkat, DYTM Raja Muda Perak Darul Ridzuan, Raja Jaafar Ibni Almarhum Raja Muda Musa dan DYAM Raja DiHilir Perak Darul Ridzuan, Raja Iskandar Dzurkarnain Ibni Almarhum Sultan Idris A’fifullah Shah; YTM Raja Kecil Sulong Perak Darul Ridzuan, Raja Dato’ Seri Ahmad Nazim Azlan Shah bin Raja Ashman Shah serta YTM Raja Kecil Tengah Perak Darul Ridzuan, Raja Dato’ Seri Iskandar bin Raja Ziran @ Raja Zaid.

Hadir sama, YAB Dato' Seri Saarani bin Mohamad, Menteri Besar Perak; YABhg. Orang Kaya Bendahara Seri Maharaja, Jen. Dato’ Seri DiRaja Tan Sri (Dr.) Mohd. Zahidi bin Haji Zainuddin (Bersara); YB Dato’ Seri Mohammad Zahir bin Dato’ Abdul Khalid, Yang di-Pertua Dewan Negeri Perak serta YB Dato' Azmir Shah bin Zainal Abidin, Penasihat Undang-Undang Negeri Perak.

Turut hadir, YB Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Perak; YBhg. Dato' Haji Harith Fadzilah bin Hj Abdul Halim, Pengarah Jabatan Agama Islam Negeri Perak (JAIPk); YABhg. Tan Sri Dato’ Seri Mohd Annuar bin Zaini, Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk) dan ketua-ketua jabatan serta agensi.

YBrs. S.F. Tuan Haji Abd Farid bin Haji Salleh, Imam Besar Masjid Negeri yang mengimamkan solat sunat turut menyampaikan khutbah bertajuk ‘Ibadah Korban: Lambang Penyucian Jiwa’.

Khutbah berkenaan menekankan bahawa setiap umat diuji Allah S.W.T. dengan perkara yang kita cintai dan tanpa kita sedar ia adalah sifat kesombongan diri.

Khatib turut menekankan bahawa orang sombong merasa dirinya lebih baik, lalu dengan angkuh sanggup menolak kebenaran.

“Sombong menyebabkan kita sukar menerima teguran, susah mengakui kesilapan, lalu lidah terlalu berat untuk mengucapkan kata-kata, ‘Saya tersilap, atau saya telah melakukan kesalahan atau saya memohon maaf’.

“Iblis tersesat bukan kerana kurang ilmu, tetapi Iblis tersesat kerana kesombongan?

Keengganan untuk sujud kepada Adam AS berpunca daripada ungkapan yang penuh keangkuhan ‘Aku lebih baik daripadanya'”, katanya.

Katanya lagi, menyembelih sifat sombong memerlukan kesediaan untuk merendah diri; bersedia mengakui bahawa kita telah tersilap dan memilih untuk memohon maaf, meskipun hati masih berat; memilih berdiam diri, meskipun kita mampu membalas hujah; terbuka menerima bahawa pandangan orang lain lebih baik daripada pandangan kita.

“Semoga pada Hari Raya Aidiladha ini, bukan sahaja haiwan korban yang berjaya ditumbangkan ke bumi, tetapi turut menggugurkan sifat sombong yang sekian lama dibiarkan hidup dalam diri kita, dan sifat takabur yang telah membutakan jiwa kita,” katanya.

Usai solat sunat, baginda berkenan berangkat bersantapan ke Majlis Sambutan Hari Raya Aidiladha di Dewan Bandaran Ipoh, dekat sini.

Hadir sama, isteri YAB Menteri Besar Perak, YABhg. Datin Seri Aezer binti Zubin; isteri YABhg Orang Kaya Bendahara Seri Maharaja, YABhg. Toh Puan Datin Seri Diraja Puan Sri Hajah Rasiah binti Md. Nor serta isteri YB Yang di-Pertua Dewan Negeri Perak, YBhg. Datin Seri Aznee binti Abu Samah.

FaLang translation system by Faboba
  • Hakmilik © 2020 Kerajaan Negeri Perak. Kemaskini Terakhir : Jumaat 19 Jun 2026, 15:48:25.
Paparan Terbaik: 1600 x 900 Piksel melalui Mozilla Firefox dengan resolusi SUSUN ATUR RESPONSIF.