Skip to main content

Daurah Hadis Mega Perkasa Tradisi Ilmu Bersanad Di Perak – YB SUK : 28 Jun 2026.

Hadir sama, YBhg. Dato’ Haji Harith Fadzilah bin Haji Abdul Halim

IPOH, 28 Jun 2026 – Penganjuran Daurah Hadis Mega Peringkat Negeri Perak 2026 menjadi langkah penting dalam usaha memasyarakatkan ilmu hadis serta memperkukuh tradisi pengajian Islam secara talaqqi dan bersanad di negeri ini.

YB Dato' Ahmad Suaidi bin Abdul Rahim, Setiausaha Kerajaan Negeri Perak, berkata, program yang julung kali diadakan itu bukan sekadar sebuah program pengajian, malah menjadi permulaan kepada usaha yang lebih besar untuk memasyarakatkan ilmu hadis dalam kalangan umat Islam.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Majlis Penutupan Daurah Hadis Mega Peringkat Negeri Perak 2026 di Masjid Sultan Idris Shah II (Masjid Negeri Perak), di sini, hari ini.

"Program ini merupakan penganjuran Daurah Hadis Mega yang pertama di Perak. Ia bukan sekadar sebuah program pengajian, bahkan menjadi satu permulaan kepada usaha yang lebih besar untuk memasyarakatkan ilmu hadis dalam kalangan umat Islam," jelasnya.

Menurut beliau, dalam era media sosial yang menyaksikan pelbagai maklumat agama mudah diakses, tradisi pengajian secara talaqqi, bersanad dan berguru dengan ilmuwan yang berautoriti perlu terus diperkasakan bagi memastikan masyarakat memperoleh kefahaman agama daripada sumber yang sahih.

Tambahnya lagi, Kerajaan Negeri Perak sentiasa menyokong usaha memperkukuh pembangunan modal insan yang berteraskan ilmu, adab dan nilai Islam kerana kemajuan sesebuah negeri bukan sahaja bergantung kepada pembangunan ekonomi dan fizikal, malah turut didorong oleh kekuatan ilmu, akhlak serta integriti rakyat.

"Saya percaya usaha yang digerakkan oleh Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk) bersama rakan-rakan strategiknya ini mampu menjadikan Perak sebagai antara negeri yang terus memartabatkan tradisi ilmu Islam serta melahirkan generasi yang mencintai al-Quran dan hadis," katanya.

Program selama dua hari itu turut menampilkan barisan masyayikh jemputan iaitu Maulana Hussein Abdul Kadir Al-Yusufi, Syeikh Dr. Luqmanul Hakim Al-Azhari dan Baba Suyuti Abdul Razak Al-Fathani yang membimbing peserta melalui pengajian hadis secara talaqqi dan bersanad.

Pada masa yang sama, YB Dato' Ahmad Suaidi bin Abdul Rahim turut menyempurnakan penyampaian sijil kepada para peserta serta menyampaikan cenderahati kepada barisan masyayikh jemputan sebagai penghargaan atas sumbangan mereka menjayakan program berkenaan.

Hadir sama, YBhg. Tuan Zamakhshari bin Hanipah, Datuk Bandar Majlis Bandaraya Ipoh; YBhg. Dato’ Haji Harith Fadzilah bin Haji Abdul Halim, Pengarah Jabatan Agama Islam Perak serta Sahibul Fadhilah Tuan Haji Abdul Farid bin Haji Salleh, Imam Besar Masjid Sultan Idris Shah II (Masjid Negeri Perak).

FaLang translation system by Faboba
  • Hakmilik © 2020 Kerajaan Negeri Perak. Kemaskini Terakhir : Jumaat 17 Julai 2026, 08:53:14.
Paparan Terbaik: 1600 x 900 Piksel melalui Mozilla Firefox dengan resolusi SUSUN ATUR RESPONSIF.